1,000 nelayan pantai diancam bot pukat tunda dan pukat siput : SAM

sisa siput

Benih Ikan yang Musnah Akibat  Penggunaan Pukat Tunda.               Gambar: SAM

Kenyataan Akbar                                        6 Februari 2017

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan Kedah mengambil tindakan segera dan berkesan bagi mengatasi masalah pencerobohan bot pukat tunda dan aktiviti bot pukat siput yang berlaku di perairan Kuala Muda dan Kuala Kedah ketika ini.

Tinjauan SAM mendapati lebih kurang 1,000 nelayan pantai di kedua-dua kawasan tersebut teruk terjejas pendapatan mereka kerana hidupan laut terutama ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama semakin berkurangan. Jika masalah ini tidak berlaku nelayan terbabit mampu memperolehi lebih RM1,000.00 sebulan tetapi sekarang pendapatan mereka hanya  RM600.00 sahaja sebulan.

musnahLonggokan Sisa Siput di Kilang  Memproses Siput di Kuala Kedah.        Gambar : SAM

Bot pukat tunda dan pukat siput yang terlibat dengan aktiviti ini berpengkalan di Kuala Kedah, dan Tanjong Dawai di Kedah serta Batu Maung di Pulau Pinang dan Pantai Remis di Perak. Bot-bot tersebut kerap beroperasi dan melakukan pencerobohan pada waktu malam di kawasan tangkapan nelayan pantai di sini pada jarak lebih kurang 3 batu nautika dari pantai.

Selain anak ikan (benih) terperangkap dan mati, kawasan pantai dan dasar laut telah tercemar menyebabkan sumber perikanan di perairan berkenaan diancam kepupusan. Sebuah bot pukat tunda boleh memerangkap dan membunuh lebih 60% anak ikan di samping merosakkan alat-alat tangkapan nelayan pantai kerana dilanggar oleh bot-bot pukat tunda itu.

SAM kesal walau pun masalah ini sudah lama berlaku dan banyak aduan telah dibuat oleh nelayan terbabit kepada APMM dan Jabatan Perikanan tetapi hingga sekarang tindakan yang diambil kurang berkesan untuk membanteras pencerobohan yang berlaku. Jika keadaan ini berterusan bukan sahaja kehidupan nelayan-nelayan pantai di kedua-dua kawasan itu akan terancam mata pencarian mereka dengan lebih teruk lagi pada masa akan datang malah bekalan ikan tempatan untuk para pengguna di kawasan ini juga akan turut terjejas.

Sehubungan itu SAM meminta APMM dan Jabatan Perikanan melakukan pemantauan yang kerap di Zon A ( 1 batu nautika hingga 8 batu nautika dari pantai ) termasuk pada waktu malam bagi membanteras kegiatan pencerobohan bot pukat tunda dan aktiviti bot pukat siput dengan berkesan. Akta Perikanan 1985 perlu dikuatkuasakan dengan tegas dan peralatan tangkapan yang diharamkan penggunaannya di negara ini perlu dirampas dan dilupuskan.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate