Atasi segera masalah banjir di kampung Padang Serai, Perak

banjirKeadaan banjir di Kampung Padang Serai, Pantai Remis, Perak                   Gambar : SAM

Kenyataan Akhbar                                     15 Disember 2016

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Perak, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di Kampung Padang Serai dekat Pantai Remis di sini.

Kejadian tersebut sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan ke atas punca berlakunya masalah itu menyebabkan 20 buah keluarga di kampung ini terus dilanda banjir setiap kali musim hujan.

Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati sekitar rumah penduduk di sini ditakungi air dan sistem saliran yang terdapat di kawasan tersebut tidak berfungsi dengan sempurna. Menurut penduduk yang terlibat masalah ini berlaku berpunca dari limpahan air dari sungai berhampiran.

Sehubungan itu SAM meminta kerajaan negeri, MPM dan JPS menjalankan siasatan secara menyeluruh di kawasan terbabit supaya punca kejadian banjir di kampung ini dapat ditangani dengan berkesan.

Di samping menjalankan kajian secara terperinci mengapa air sungai di kawasan tersebut sering kali melimpah ketika hujan, sistem saliran yang terdapat di kampung ini juga perlu dibaiki agar pengaliran air menjadi lancar dan tidak mengancam rumah penduduk.

SAM kesal walau pun masalah ini sudah lama berlaku tetapi tiada langkah sewajarnya diambil oleh pihak berkenaan.

SAM bimbang jika keadaan ini dibiarkan dan tidak ditangani secepat mungkin bukan saja harta benda kepunyaan penduduk-penduduk di sini akan mengalami kerosakan serta kerugian yang lebih besar malah ia juga boleh mencetuskan masalah alam sekitar dan kesihatan kepada penduduk tempatan.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate