Apakah yang dipertaruhkan dalam projek tambak laut di Pulau Pinang

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                    03 FEBRUARI 2016

Projek-projek penambakan laut yang dicadangkan di Pulau Pinang bukan hanya akan menukarkan ciri hidrologi dan geomorfik pesisiran pantai pulau ini tetapi juga menyebabkan hakisan dan enaptimbus di kawasan lain. Sahabat Alam Malaysia (SAM) bimbang projek tambak laut bukan hanya membawa kesan kepada alam sekitar tetapi juga kesan sosio- ekonomi kepada komuniti pantai termasuk nelayan. 

Beberapa projek penambakan tanah telah diluluskan atau dicadangkan di bahagian timur laut, tenggara dan selatan Pulau Pinang. Antaranya ialah kerja menambak tanah untuk Seri Tanjung Pinang Fasa 2 yang juga termasuk penambakan laut di pantai Persiaran Gurney; Bayan Bay dan Bayan Mutiara; dan cadangan menambak laut di Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas bagi membiayai beberapa pakej dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang. 

Sejak 1990an, SAM dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menyuarakan bantahan terhadap projek tambak laut di Pulau Pinang. Kerja menambak laut yang dijalankan lebih awal telah memberikan kesan sampingan ke atas alam sekitar contohnya hakisan di kawasan lain, kehilangan sumber laut, di samping impak terhadap hidupan laut, sumber perikanan, mengusir dan mengganggu aktiviti komuniti nelayan di kawasan itu. 

Penambakan laut di kawasan Bayan Mutiara dan Bayan Bay berpotensi menyebabkan pemendapan, hakisan di kawasan bersebelahan Pulau Jerejak akibat perubahan dalam corak arus dan pengangkutan sedimen. Tambahan pula, berdasarkan bilangan cadangan projek penambakan laut di Pulau Pinang, sejumlah besar bahan diperlukan untuk digunakan dalam kerja-kerja menambak laut. Bagaimanapun, kesan sampingan daripada pemerolehan batu dan pasir yang diperlukan untuk projek-projek ini sering terlepas pandang. 

Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling projek penambakan laut itu akan mencadangkan langkah kawalan dan pihak berkuasa berkaitan lazimnya akan meluluskan cadangan projek ini. Bagaimanapun, kerosakan yang tidak dapat dipulihkan balik seperti kehilangan kawasan perikanan dan perubahan dalam landskap Pulau Pinang tidak boleh digantikan. 

SAM menggesa Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa yang berkenaan supaya mempertimbangkan semula kerja penambakan dan meneliti semula teras pembangunan di negeri ini. Kemusnahan alam sekitar dan harga yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat dalam jangka panjang bukanlah jalan ke hadapan. 

 

S. M Mohamed Idris

Presiden

 

Join Donate