Atasi segera masalah banjir kilat di Machang Bubok – SAM

banjir kilat machang bubokBanjir kilat di Machang Bubok (gambar Bernama)

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                             15 MEI 2015

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyiasat punca berlakunya banjir kilat di tiga buah kampung termasuk beberapa jalan utama di sekitar Bukit Mertajam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) baru-baru ini.

Berikutan hujan lebat beberapa hari lalu sebanyak 100 buah rumah di Machang Bubok, Permatang Rawa dan Tanah Liat telah dinaiki air secara mendadak menyebabkan banyak harta benda penduduk-penduduk yang terlibat rosak dan musnah. 

Mengulas kejadian tersebut, SAM meminta kerajaan negeri ini dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu sebelum ia menjadi lebih buruk. 

SAM percaya jika punca berlakunya banjir kilat di sini tidak diatasi secara berkesan penduduk-penduduk di kawasan berkenaan akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang. 

SAM mendapat tahu pelaksanaan projek pembangunan berhampiran Kampung Machang Bubok telah mengakibatkan kawasan tersebut terdedah kepada ancaman banjir ketika hujan.  Tindakan pemaju menambak tapak projek mereka lebih tinggi dari kampung itu telah menyebabkan banjir kilat melanda kawasan ini. 

Pemaju projek pembangunan di sini sepatutnya membina kemudahan sistem saliran yang sempurna agar kawasan perumahan di sini tidak dilimpahi air hujan. 

SAM kesal dengan kejadian yang berlaku dan berharap siasatan terperinci serta tindakan berkesan diambil oleh kerajaan Pulau Pinang dan MPSP supaya isu ini tidak lagi menghantui kehidupan harian penduduk-penduduk di sini. 

Penguatkuasaan undang-undang dan peraturan berkaitan masalah ini perlu dilaksanakan dengan tegas agar sebarang projek pembangunan yang dilaksanakan tidak mengancam alam sekitar dan kehidupan penduduk. 

SAM turut mencadangkan agar penduduk-penduduk yang mengalami kerugian akibat kerosakan dan kemusnahan harta benda berikutan kejadian ini diberi bantuan atau pampasan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bagi meringankan beban kehidupan mereka. 

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate