Atasi segera masalah pembuangan sampah Di jalan ban, sungai Tengah Changkat, Nibong Tebal

buang

Sebahagian kaca yang dibuang di kawasan ini  Gambar : SAM

Kenyataan Media                                        8 Februari 2017

Sahabat Alam Malaysia (SAM) memandang serius tentang pembuangan sampah yang berlaku di Jalan Ban Sungai Tengah, Changkat berdekatan jeti nelayan Changkat, Nibong Tebal di daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang perlu segera menyiasat perkara ini dan mengambil perhatian serius bagi mengatasi masalah pembuangan sampah yang berlaku.

Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati sepanjang 200 ke 300 meter dipenuhi berbagai bahan buangan seperti plastik, kaca, kayu, botol, tin aerosol dan lain-lain lagi. Di samping itu,  kami juga turut melihat kesan pembakaran telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.

SAM mendapati keadaan sampah yang dilonggokkan seolah-olah kawasan tersebut adalah tapak pelupusan sampah padahal kawasan berkenaan merupakan jalan ban yang boleh menuju ke Kampung Bagan Buaya.

Kami tidak menolak kemungkinan perkara ini telah lama berlaku kerana di kawasan tersebut terdapat papan tanda yang menyatakan ia kawasan larangan pembuangan sampah.

Apa yang mendukacitakan kami ialah kenapa pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak dapat mengesan dan mengambil tindakan di atas masalah yang berlaku sedangkan di papan tanda tersebut tertera arahan dari Jurutera Daerah. Persoalannya siapakah Jurutera Daerah yang dimaksudkan tersebut, adakah ia di bawah bidang kuasa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau pejabat lain?

SAM khuatir jika masalah ini tidak ditangani dengan segera maka impak terhadap alam sekitar akan bertambah buruk. Justeru SAM berpendapat agar tindakan bersepadu dan  tinjauan yang kerap perlu dilakukan oleh pihak-pihak terbabit agar masalah ini dapat dibendung dari masa ke masa. Lawatan lapangan juga perlu dilakukan agar pihak-pihak yang sesuka hati membuang sampah di kawasan berkenaan akan was-was kerana kehadiran pihak-pihak berkuasa.

Sehubungan dengan ini SAM menggesa agar Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan mengambil tindakan segera bagi menangani dan menyelesaikan masalah ini.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden


Showing 2 reactions

Join Donate