Atasi segera masalah pencemaran di parit-parit JPS, Daerah Seberang Perai Selatan

Nelayan menunjukkan tumbuhan liar menjalar di Sungai Jawi.                Gambar : SAM

Kenyataan Media                                    16 Ogos 2017

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA) meminta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak-pihak yang berkenaan memantau dan mengatasi masalah pencemaran parit-parit kawalan JPS yang dilihat semakin ketara pencemaran airnya pada ketika ini.

Antara parit-parit yang didapati tercemar adalah Parit D3 (Parit Paya Mahang B), Parit A3/PT.SIAM A3, Parit E2 (Parit Kg.Baru B) dan beberapa parit lagi sekitar kawasan Seberang Perai Selatan (SPS). Parit-parit tersebut dapat dilihat dengan jelas dari jalan besar dan melalui Lebuhraya Utara Selatan di susur masuk plaza tol Batu Kawan. Selainnya kena menyelusuri jalan ban melalui Sungai Bakap, Batu Kawan, Bukit Tambun, Simpang Ampat (Daerah SPS) serta Mukim 12, Jalan Kebun Baru dan Jalan Ban Sungai Sembilang, Juru (Daerah SPT).

Keadaan Parit Paya Mahang yang hitam di kawasan Simpang Empat. gambar: SAM

Tinjauan yang dijalankan kami mendapati air dari parit-parit berkenaan berwarna hitam pekat, berbuih dan berbau busuk.  Kemungkinan besar pencemaran air tersebut berpunca dari sisa najis haiwan ternakan, kolam-kolam ternakan, dan bahan buangan yang dilepaskan dari kawasan premis perniagaan serta perindustrian di sekitar kawasan berdekatan. 

Sepanjang tinjauan juga kami dapati sistem aliran air dari parit berkenaan menuju ke satu cabang sungai iaitu Sungai Jawi di sebelah Batu Kawan dan seterusnya  mengalir ke laut.  Keadaan ini diburukkan lagi dengan keadaan Sungai Jawi yang dipenuhi tumbuhan liar dan secara tidak langsung sungai tersebut menjadi sempit dan cetek.

SAM banyak menerima aduan dan rungutan dari penduduk serta komuniti nelayan tempatan bahawa mereka khuatir dengan keadaan Sungai Jawi yang kelihatan jelas tercemar serta keadaan dasar sungai yang semakin cetek. Menurut mereka, masalah sungai cetek berpunca dari kerja tanah bagi projek-projek pembangunan yang sedang rancak dibangunkan oleh pihak Penang Development Corporation (PDC). 

Kami difahamkan aduan telah diajukan melalui pelbagai saluran kepada pihak-pihak berkenaan bagi mengatasi masalah ini namun sehingga kini tiada sebarang tanda-tanda menunjukkan masalah pencemaran ini berkurangan malah ianya semakin membimbangkan.  

Sehubungan itu, SAM dan PIFWA menggesa supaya perkara ini ditangani dan dipandang serius oleh agensi-agensi yang berkaitan. Kami percaya bahawa ancaman terhadap keseimbangan ekosistem dan ekologi hidupan akuatik ini akan membawa kepada kemusnahan suatu hari nanti jika perkara ini tidak dibendung dari awal.

Bertindak awal sebelum alam sekitar musnah.

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden 

Join Donate