Banyak spesies semakin pupus

SURAT KEPADA PENGARANG                                                                                                02 MAC 2016

Hampir setiap hari berita menyedihkan yang dialami oleh hidupan liar menjadi perhatian utama. Daripada terperangkap di dalam jerat, terbunuh di jalan raya, gajah mengamuk, primat terancam, pembunuhan beruang matahari, pengambilan telur penyu, penjualan hidupan liar melalui media sosial dan begitulah seterusnya senarai yang tidak akan berakhir.  

Berita satu lagi spesies yang akan pupus adalah haiwan karismatik yang ditemui di Sabah – tenggiling. Menuju ke arah nasib yang menimpa dodo, mamalia ini merupakan haiwan yang paling banyak diperdagangkan di dunia, akibat ancaman yang dihadapi daripada pengguna di Vietnam dan China. Beratus spesies lain berada dalam keadaan tidak menentu disebabkan oleh selera yang tidak pernah puas dan rakus bagi anggota haiwan. Beruang matahari diburu setiap hari untuk mendapatkan pundi hempedu dan kini terancam dengan serius. Perdagangan antarabangsa sering mendorong dinamik yang mengosongkan spesies utama dari ekosistem, meninggalkan kemusnahan habitat yang ketandusan hidup dan kehidupan. 

Dalam sebuah dunia yang ideal, perdagangan spesies terancam boleh dikawal dengan mengurangkan permintaan dan dengan mendidik orang ramai di negara-negara pengguna. Tetapi dalam berdepan dengan kritikan yang semakin meningkat berhubung campurtangan dengan tradisi budaya dan pengabaian kemiskinan, tentu tidak banyak masa lagi untuk menyelamatkan banyak spesies. 

Dalam usaha untuk mengurangkan permintaan, tumpuan adalah terhadap mengawal bekalan melalui peraturan negara dan antarabangsa dalam berdepan penglibatan canggih yang semakin berkembang, dibiayai dengan dana yang besar dan semakin meningkatnya organisasi jenayah bersenjata dalam perdagangan hidupan liar haram, bersama dengan keperluan bagi usaha penguatkuasaan untuk setanding dengan tingkat kecanggihan agar usaha ini lebih berkesan. 

Konvensyen bagi Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Flora dan Fauna Terancam (Convention for International Trade in Endangered Species of Flora and Fauna - CITES) adalah salah satu rangka kerja perundangan antarabangsa khusus disasarkan dalam mengawal perdagangan spesies terancam. Bagaimanapun gambaran seseorang terhadap CITES selepas menimbangkan hujah dan hasilnya jelas ia lebih melindungi kepentingan komersial berbanding melindungi hidupan liar. Berhubung spesies hidupan liar yang terancam dan perdagangan antarabangsa, jelas bahawa CITES tidak berkesan dalam mengawal perdagangan haram. Malangnya, tiada sebarang penilaian daripada CITES sejak ia ditubuhkan. Perdagangan dibenarkan berasaskan kelestarian. Bolehkan CITES secara jujur memberikan contoh spesies yang diperdagangkan secara lestari di wilayah ini? Adakah terdapat sebarang semakan dan imbangan oleh CITES untuk memastikan spesies tidak pupus? 

Kini hidupan liar lebih terancam berbanding sebelum ini dengan penggunaan media sosial dan peralatan online untuk penjualan dan pembelian haiwan, burung dan lain-lain. Laman Internet memaparkan dan menempatkan spesies dilindungi dan terancam secara terbuka atau di bawah nama rekaan. Ini mencabuli undang-undang dan perjanjian antarabangsa. Setakat ini hanya eBay merupakan salah satu daripada beberapa laman yang membuat usaha yang serius dalam mengawal penyeludupan hidupan liar dengan memadamkan iklan bagi produk haram – ini pun hanya segelintir sekadar eBay menyedari atau mendengar mengenainya. Setakat ini usaha untuk mengawal adalah kurang dan sebahagian besarnya tidak berkesan. 

Agensi Penguatkuasaan Hidupan Liar Asean (ASEAN_WEN) ditubuhkan pada 1 Disember 2005. Sehingga ke hari ini adakah terdapat sebarang penguatkuasaan berkesan perundangan yang mengawal pemuliharaan, perdagangan dan penggunaan lestari flora dan fauna liar? Apakah kadar kejayaan di mana spesies flora dan fauna digunakan secara lestari? Surat menyurat kepada mereka sering tidak diterima maklumbalas. 

Kerajaan dan NGO di rantau Asia perlu mengemukakan strategi baharu dan inovatif  berskala besar untuk menangani permintaan dengan mengemukakan bagaimana budaya pengguna global mengaitkan kita semua dengan perdagangan hidupan liar dan jenayah terancang. Kita tidak seharusnya menunggu sehingga setiap hidupan liar pupus akibat kelalaian kita. 

Paling penting dilakukan oleh wilayah-wilayah ini adalah membina selera untuk pemuliharaan bukannya penggunaan denganmendidik golongan muda untuk menghormati kehidupan dan menghargai haiwan dalam hakikinya, bukan atas dasar kegunaannya kepada kita.    

 

S. M. Mohamed Idris

Presiden

Join Donate