Bertindak sekarang untuk mencegah bencana di masa hadapan

SURAT KEPADA PENGARANG                                                                                        20 JANUARI 2015

Negara kita masih dalam keadaan terkejut akibat kesan selepas kemusnahan akibat banjir yang melanda tujuh negeri. 

Ramai yang masih berada di tempat perlindungan sementara dan bergantung kepada kerajaan dan dermawan yang memberikan bantuan makanan termasuklah bantuan daripada China dan Jepun. Di samping peruntukan awal RM800 juta untuk bantuan awal mangsa banjir, kerajaan kini berdepan dengan pembiayaan pembinaan semula yang mungkin menelan belanja berbilion ringgit.

Ketika Malaysia mula mengira kos akibat bencana yang dialami baru-baru ini, adalah penting bagi kerajaan menjalankan post-mortem terhadap penyebab banjir besar itu dan mengambil iktibar daripadanya dan bersedia untuk masa depan.

Oleh sebab itu kami menyokong sepenuhnya pandangan yang disuarakan oleh Martin Khor dalam kolumnya Global Trends bertarikh 19 Januari 2015 dalam The Star. 

Seperti mana yang ditulis oleh penulisnya, “kejadian baru-baru ini dan sains iklim dengan jelas menunjukkan bahawa hujan dan banjir 2014-15 bukanlah hanya satu-satunya kejadian tetapi ia merupakan sebahagian daripada corak negara, rantau dan global yang dikaitkan dengan kejadian perubahan iklim dan cuaca melampau.” Oleh itu, pada masa hadapan kita boleh menjangkakan situasinya akan menjadi bertambah buruk.

Martin Khor merujuk kepada kertas kerja oleh bekas ketua Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD) dan lain-lain bahawa Malaysia “telah mengalami peningkatan dalam suhu, selaras dengan tren pemanasan global.” Menurut kertas kerja itu lagi, “peningkatan suhu global telah membawa kepada perubahan cuaca termasuk corak angin utama, jumlah dan intensiti kerpasan dan peningkatan cuaca dan ribut melampau.”

Jelas sekali bahawa kita perlu bersedia untuk menangani keadaan cuaca melampau ini di masa hadapan. Untuk berbuat demikian, Malaysia perlu mempertingkatkan pelan tindakan iklim dalam mencegah, penyesuaian dan kerosakan dan kemusnahan.

Perkara ini bukan hanya menjadi tanggungjawab Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (MNRE) sahaja yang merupakan agensi penting dalam menangani perubahan iklim negara tetapi ia merupakan perkara yang memerlukan majlis penyelarasan pada peringkat tinggi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang juga memberikan perhatian terhadap mengurangkan risiko bencana dan memastikan rancangan pembangunan tidak menjejaskan iklim.

Terdapat keperluan segera untuk mengutamakan penyesuaian perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana dengan mengarusperdanakannya ke dalam perancangan pembangunan. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini begitu sahaja memandangkan apa yang kita saksikan ketika berlakunya bencana baru-baru ini.

Keutamaan lain yang perlu ditangani ialah penebangan hutan atau salah urus hutan. Malah Pengerusi Majlis Keselamatan Negara, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menggesa supaya penebangan balak dihentikan sementara.

Hutan kita adalah pencegah banjir semula jadi dan penyesuaian aset yang tidak diambil berat dan hanya menghargai nilai kayunya. Penebangan hutan dan kemerosotan hutan adalah faktor penyumbang utama dalam mencetuskan kesan banjir baru-baru ini di samping hujan akhir tahun yang berpanjangan dan lebih lebat daripada biasa.

Menukarkan hutan semula jadi kepada ladang monokultur juga perlu dipersalahkan terhadap kemusnahan yang kita saksikan baru-baru ini. Ladang bukanlah hutan dan tidak memainkan peranan sebagai fungsi ekologi yang sama seperti hutan semula jadi dalam mencegah dan penyesuaian. Oleh itu, pemuliharaan hutan, pemulihan dan penanaman semula di kawasan yang terjejas dengan pelbagai spesies hutan amat kritikal.

Seperti yang dijelaskan oleh Martin Khor, penting juga mempunyai pemuliharaan tanah sebagai strategi; sungai dan saliran yang berlumpur; memperbaiki saliran di kawasan bandar dan luar bandar; bangunan kalis iklim termasuk membina sekolah dan rumah baharu di atas tiang atau kaki bajang di kawasan yang sering dilanda banjir; melindungi kawasan pantai daripada ribut, angin dan gelombang tinggi termasuk memulihara dan menanam semula hutan bakau.

Kami juga bersetuju perlunya seluruh aktiviti bagi pengurusan banjir dan bencana lain yang lebih baik termasuk mewujudkan pusat pemindahan kekal; sistem amaran awal; sistem pemindahan awal dan yang lebih baik; menyimpan dan mengedar makanan, air bersih, ubatan dan keperluan penting lain kepada mangsa; pelan untuk membaiki dan pemulihan dan peruntukan kewangan pendahuluan.

Amat penting bagi Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk memperuntukan sumber yang sewajarnya untuk usaha yang disebutkan di atas.

Sebagai tambahan, Kerajaan Persekutuan boleh membantu Kerajaan Negeri mendapatkan dana antarabangsa yang boleh diperolehi di bawah Green Climate Fund (GCF), yang ditubuhkan di bawah Konvensyen Rangkakerja Perubahan Iklim PBB (UNFCCC) untuk menbiayai tindakan iklim dalam mencegah dan penyesuaian, termasuk melindungi hutan. Kira-kira AS$10 bilion dijanjikan kepada GCF untuk empat tahun akan datang dan Malaysia boleh mendapat manfaat daripadanya.

Marilah kita bertindak dengan segera dan mengambil langkah yang betul dalam bersedia menghadapi bencana berkaitan iklim. Marilah kita mengambil iktibar daripadanya dan tidak lagi mengulangi kesilapan yang dilakukan.

 

S. M. Mohamed Idris

Presiden

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan

Sahabat Alam Malaysia (SAM)

 

Join Donate