Bot pukat tunda dan kapal korek bijih ancam nelayan Sungai Batu

Jeti nelayan Pantai RemisJeti nelayan pantai Kampung Sungai Batu, Pantai Remis, Perak                 Gambar: SAM

Kenyataan Akhbar                              12 Oktober 2016

Lebih kurang 200 nelayan pantai di Kampung Sungai Batu, Pantai Remis, Perak terjejas sumber pendapatan harian akibat pencerobohan bot pukat tunda tempatan di kawasan tangkapan mereka. Masalah yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu bukan saja mengancam sumber perikanan dan berbagai spesies hidupan laut, tetapi juga turut mencemarkan Zon A tempat nelayan-nelayan di sini mencari rezeki. 

Dalam tinjauan yang dibuat Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendapati hasil tangkapan ikan dan udang oleh nelayan-nelayan di kawasan tersebut telah berkurangan. Jika masalah ini tidak berlaku mereka memperolehi lebih RM100.00 sehari, tetapi sekarang hanya mendapat RM60.00 sehari.

Selain sumber pendapatan harian merosot teruk, ada di antara nelayan di sini mengalami kerugian kerana kerosakan jaring akibat dilanggar oleh bot-bot pukat tunda yang menceroboh kawasan tangkapan mereka.

Bot-bot pukat tunda berkenaan menceroboh kawasan tangkapan nelayan pantai di sini pada waktu malam dan menjadikan kawasan 1 batu nautika dari pantai sebagai tempat beroperasi. Nelayan di sini juga melaporkan bahawa setiap pencerobohan melibatkan kira-kira 20 buah bot pukat tunda.

Nelayan bot pukat tunda terbabit tidak memasang lampu pada bot mereka bagi mengelak dikesan oleh nelayan pantai dan pihak berkuasa.  Masalah ini telah beberapa kali dikemukakan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tetapi tidak ada tindakan berkesan yang diambil.

SAM kesal dengan kejadian itu walau pun ia sudah lama berlaku namun nasib nelayan-nelayan pantai di sini masih belum mendapat pembelaan sewajarnya dari pihak berkuasa berkenaan. SAM percaya jika keadaan ini dibiarkan kehidupan mereka akan terjejas dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

SAM menggesa APMM melakukan pemantauan yang kerap dan menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan tegas dan lebih berkesan bagi menangani masalah ini.

Di samping ancaman oleh bot-bot pukat tunda, SAM turut meminta APMM dan Pejabat Tanah dan Galian ( PTG) Perak menyiasat dan mengambil tindakan segera menghentikan kegiatan mengorek bijih di kawasan pantai berhampiran jeti nelayan Sungai Batu di sini.

Bantahan telah dibuat oleh nelayan-nelayan di kawasan ini terhadap kegiatan yang mencemarkan laut dan memusnahkan batu karang di perairan itu tetapi tidak ada tindakan tegas yang diambil terhadap syarikat yang terlibat.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate