Cadangan Projek Tiga Jalan Utama di Pulau Pinang: Bukan Penyelesaian Kepada Masalah Lalu Lintas

Siaran Akhbar                                         13 Julai 2017

Ramai penduduk Pulau Pinang tidak menyedari bahawa Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi cadangan projek tiga jalan utama di Pulau Pinang telah dipamerkan untuk ulasan awam sejak 19 Jun 2017.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah menulis surat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk meminta lanjutan masa bagi mengemukakan ulasan bertulis (yang akan berakhir pada 19 Julai 2017). Kami masih menanti maklum balas.

Biasanya, laporan EIA akan dipamerkan selama sebulan untuk disemak oleh orang awam dan dua minggu lagi akan diperuntukkan untuk mengemukakan ulasan. Tetapi tidak dalam kes ini, walaupun ia melibatkan sebahagian besar penduduk Pulau Pinang.

Ramai daripada mereka yang berpotensi terjejas oleh projek ini mungkin tidak mengetahui bahawa jalan itu akan berada berdekatan dengan rumah, pejabat, bangunan perniagaan atau ia akan melalui kawasan hutan dan sungai. Sesetengah daripada kesannya tidak dapat dikembalikan seperti sedia kala seperti pembersihan hutan, pemotongan bukit dan pengambilan rumah dan tanah.

Apakah risikonya? Berikut adalah butiran ringkas mengenai projek sepertimana yang dinyatakan dalam EIA:

· Pakej 1: Jalan Berkembar Pesisiran Pantai Utara dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang meliputi sepanjang 10.53 km di mana 2.275 km adalah jalan atas. Jajaran 3.3 km terakhir akan melalui Hutan Simpanan Bukit Kerajaan dan Hutan Simpanan Teluk Bahang dan berakhir di sambungan ke Jalan Teluk Bahang, berdekatan Sekolah Kebangsaan Teluk Bahang.

· Pakej 2: Jalan Pintasan Ayer Itam – Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu sepanjang 5.7 km di mana 3.8 km adalah jalan atas. Jalan raya yang dicadangkan adalah dua lorong berkembar (empat lorong). Laluan dari Lebuhraya Thean Teik melalui pinggir kawasan berhutan dan berbukit ke arah Jalan Bukit Gambir.

· Pakej 3: Jalan Pintasan Persiaran Gurney – Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu sepanjang 4.075 km dengan 2.025 km jalan raya bertingkat dan 2.050 km terowong bertingkat.

Guna Tanah Sepanjang Jajaran

Sejumlah 238 lot tanah akan diambil untuk ketiga-tiga projek jalan-jalan utama ini. Ia melibatkan 3.34 hektar dalam dua hutan simpanan kekal, 34.5 hektar tanah hutan negeri, 16.5 hektar tanah hutan, tanah persendirian, tanah negeri dan persekutuan. Jumlah kawasan yang diambil untuk Pakej 1 ialah 600,555 meter persegi. Pakej 2 melibatkan pengambilan 216,606 meter persegi, dan Pakej 3 melibatkan 9,792 meter persegi.

Pengagihan penggunaan tanah sepanjang koridor jalan (hak laluan – ROW) dalam Pakej 1 meliputi 348,651 meter persegi hutan atau hampir 52% daripada jumlah kawasan. ROW Pakej 2 meliputi hampir 45% daripada kawasan hutan (165,334 meter persegi). Pakej 3 melalui pusat bandar melibatkan kawasan kediaman, komersial dan industri.

Hutan dan Bukit

Jajaran Pakej 1 melalui kawasan hutan Teluk Bahang akan melibatkan pemindahan spesies pokok unik dan endemik iaitu Kerusing gasing (Atuna penangiana) yang disenaraikan sebagai mudah terdedah kepada ancaman. Antara flora lain, sejumlah 253 spesies pokok telah direkodkan di sini. Pemindahan tumbuhan ini akan menyebabkan kemerosotan, pemecahan, transformasi habitat atau kehilangan sepenuhnya.

Pakej 1 dan Pakej 2 melalui kawasan berbukit dengan ketinggian maksimun 159 meter                   (berdekatan Moonlight Bay) dan 110 meter (berdekatan Menara Greenview).

Tanah Runtuh dan Gelinciran   

Pembinaan jalan akan melibatkan pemotongan cerun dan kerja-kerja meletup batu. Menurut rekod Jabatan Kerja Raya (JKR), tanah runtuh pernah berlaku berdekatan kawasan sepanjang jajaran Pakej 1 dan Pakej 2.

Dinyatakan dalam laporan EIA bahawa menurut Laporan Kajian Kebolehlaksanaan, jajaran bagi Pakej 1 melintasi beberapa gelinciran geologi, contohnya Gelinciran Sungai Satu dan Sungai Kelian – Gelinciran Sungai Pinang dan merangkumi Gelinciran Sungai Siru.

Sungai dan Kawasan Terdedah Banjir

Projek yang dicadangkan akan melintasi beberapa kawasan tadahan sungai. Sejumlah 21 sungai mungkin akan terjejas akibat kerja tanah bagi projek jalan-jalan tersebut. Ini akan membawa kepada hakisan tanah dan pemendapan hilir sungai jika langkah pencegahan yang sempurna tidak dilakukan.

Pakej 1 akan melintasi tujuh sungai dan kawasan tadahan terbesar adalah Sungai Batu Ferringhi (11.546 kilometer persegi) dan Sungai Teluk Bahang (12.273 kilometer persegi). Pakej 2 melintasi sebahagian daripada Paya Terubong dan Sungai Dondang ke arah kawasan Gelugor. Sebahagian daripada jajaran meliputi kawasan lembanganSungai Pinang dan Sungai Gelugor, yang akhirnya mengalir terus ke laut.

Pakej 2 dan Pakej 3 meliputi kawasan yang mudah terdedah kepada banjir. Seluruh jajaran bagi Pakej 3, yang termasuk komponen terowong, meliputi kawasan tadahan Sungai Pinang yang mudah terdedah kepada banjir.   

Sungai Pinang merupakan sungai yang amat terdedah kepada limpahan air, dan data sejarah paras air sejak 1985 menunjukkan paras air maksimum yang direkodkan setiap tahun sehingga kini melebihi paras bahaya iaitu 2.70 meter, kecuali bagi tahun 1988, merekodkan 2.47 meter tetapi melebihi paras amaran 2.10 meter. Banjir tertinggi berlaku pada 1995 pada paras 3.79 meter.

Pencemaran udara, bising, getaran

Penduduk sepanjang koridor jalan yang dicadangkan itu akan terjejas oleh pencemaran udara, debu, bising dan getaran. Laporan EIA menyatakan bahawa penduduk di bangunan tinggi tidak lagi dapat melihat langit yang cerah tetapi jalan bertingkat melalui rumah mereka dan perubahan pandangan estetika di kawasan itu.   

Rundingan awam yang lebih sempurna diperlukan bagi penduduk yang terjejas oleh jalan utama

Penggerak projek iaitu Kerajaan Negeri perlu mengadakan pameran awam di kawasan kediaman utama yang akan terjejas oleh jajaran jalan disebabkan ramai daripada mereka mungkin tidak tahu mengenai projek yang dicadangkan ini. Pandangan awam sebenar perlu diperolehi, dan tidak hanya bergantung kepada kajian yang dijalankan oleh perunding EIA.

Lebih banyak jalan bukan penyelesaian kepada lalu lintas

Di samping kesan alam sekitar, kesihatan dan sosioekonomi yang timbul daripada pembinaan kesemua tiga jalan ini, CAP dan SAM telah menyatakan beberapa kali bahawa projek jalan ini tidak diperlukan.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa meskipun projek jalan baharu atau pelebaran jalan yang dilaksanakan mungkin menawarkan kelegaan sementara dalam jangka pendek, ia bukanlah penyelesaian sebenar kepada kesesakan lalu lintas.

Jalan baharu mewujudkan lalu lintas baharu. Sebaik sahaja jalan baharu beroperasi sepenuhnya, ia akan menarik lebih banyak lalu lintas. Meskipun sesetengah daripada jalan mungkin mengalihkan lalu lintas daripada jalan yang lebih sesak, selebihnya merupakan lalu lintas kenderaan baharu hasil daripada peningkatan dalam penggunaan kereta.

Cadangan projek tiga jalan utama kini adalah pemulihan projek Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (Penang Outer Ring Road - PORR) yang dikemukakan dengan cara yang berbeza. Cadangan projek PORR dahulu telah mendapat tentangan kuat oleh penduduk Pulau Pinang. Kini orang ramai perlu membuat keputusan sama ada mereka mahukan lebih banyak lebuhraya melintasi kawasan alam sekitar sensitif  dan kawasan perumahan. Ulasan awam kepada JAS amat penting.

Kami mengulangi sekali lagi bahawa Pulau Pinang tidak memerlukan lebih banyak projek jalan yang akan menjejaskan pilihan pengangkutan mampan. Strategi pengangkutan yang rasional dan menyeluruh untuk Pulau Pinang diperlukan. Teras utama mestilah untuk mengurangkan kenderaan persendirian dalam pulau ini dan bukannya menggalakkan penggunaan lebih banyak kenderaan persendirian.

KATAKAN TIDAK KEPADA LEBIH BANYAK JALAN.     

 

S. M. Mohamed Idris

Presiden

Join Donate