CAP dan SAM kecewa dengan kelulusan DEIA cadangan projek penambakan Seri Tanjung Pinang Fasa 2 di Pulau Pinang

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                         15 APRIL 2014 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) kecewa bahawa Laporan Terperinci Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (DEIA) bagi cadanagn projek Seri Tanjung Pinang Fasa 2 (STP2) di Tanjung Tokong, Pulau Pinang telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Semalam, Lembaga Pengarah Eastern & Oriental Berhad (E & O) telah mengumumkan bahawa anak syarikatnya, Tanjung Pinang Sdn Bhd, telah menerima surat kelulusan EIA bersyarat bertarikh 10 April 2014 daripada Jabatan Alam Sekitar pada 11 April 2014.

Selain CAP dan SAM, pertubuhan masyarakat sivil yang lain di Pulau Pinang juga telah menimbulkan kebimbangan mereka dan menggesa agar kajian lebih mendalam dibuat untuk cadangan projek ini. Dengan itu kami terkejut bahawa panel pengulas laporan DEIA untuk projek penambakan yang dicadangkan telah mengambil keputusan untuk meluluskan laporan walaupun mendapat bantahan orang ramai dan terdapat isu-isu dan persoalan yang masih tidak terjawab

Antara isu yang dibangkitkan oleh CAP dan SAM adalah apakah justifikasi keseluruhan projek, perlu kajian mendalam untuk mengetahui kesan penambakan sebelumnya untuk projek STP1 yang telah menyebabkan pemendapan dan hakisan di tempat lain, mitigasi bagi kehilangan zon pantai dan marin yang luas, penyusutan nilai perkhidmatan alam sekitar yang disediakan oleh dataran lumpur, habitat dasar laut dan kurang penilaian ke atas kesan daripada pengerukan.

Panel pengulas DEIA sekurang-kurangnya haruslah meminta perunding EIA mengemukakan laporan tambahan kepada DEIA berdasarkan ulasan yang dikemukakan oleh pihak awam. Maklumat tambahan yang disediakan oleh perunding EIA sepatutnya telah dipamerkan agar orang ramai dapat mengkaji dan mengemukakan ulasan.

Memandangkan DEIA telah diluluskan, ianya terserah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membuat keputusan sama ada untuk meluluskan projek tersebut. Adakah kerajaan negeri akan mengambil kira nasib yang menimpa alam sekitar dan orang yang terjejas atau adakah keutamaan diberikan kepada keuntungan yang akan diperolehi oleh syarikat swasta? Siapa yang akan membayar kos untuk kehilangan pendapatan nelayan, kemusnahan kekal zon pantai dan sumber marine yang disebabkan oleh aktiviti projek dan kesan jangka panjang?

Kesan projek ini kepada alam sekitar adalah besar manakala orang ramai perlu menanggung akibatnya. Dengan demikian kami menyeru agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempertimbangkan dengan serius kos kepada alam sekitar dan sosial akibat dari projek yang dicadangkan ini dan dengan itu tidak meluluskan cadangan projek STP2 .


S.M. MOHAMED IDRIS
Presiden

Join Donate