CAP dan SAM menyertai NGO dari 40 negara untuk menggesa Dentsply untuk menghentikan perdagangan toksik amalgam

KENYATAAN AKHBAR                                                                                               25 SEPTEMBER 2013 

Dengan pemeteraian perjanjian mengenai merkuri pada bulan depan, ramai yang bimbang bahawa tampalan merkuri yang toksik akan dilambak ke negara-negara membangun. Dalam surat kepada Dentsply iaitu sebuah syarikat pengeluar dari Amerika Syarikat, 62 kumpulan kesihatan, keadilan dan alam sekitar dari 40 negara dan enam benua telah meminta presiden syarikat, Bret Wise, untuk menghentikan penjualan amalgam gigi kepada negara-negara membangun.

Surat itu, yang boleh didapati di http://www.toxicteeth.org/letter-with-62-ngos-40-nations.as…, dianjurkan oleh Perikatan Dunia Untuk Pergigian Tanpa-Merkuri (World Alliance for Mercury-Free Dentistry, www.toxicteeth.org)

“Kita mesti menamatkan perdagangan toksik dan penggunaan merkuri dalam pergigian yang mencemar badan kita, tanah, air dan udara! Kita tidak mempunyai keupayaan untuk mengendalikan lebih banyak produk mengandungi merkuri, yang mencemarkan alam sekitar dan akhirnya memasuki makanan kita.” kata S.M. Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Amalgam gigi, yang dikenali ramai dengan istilah yang 
memperdaya iaitu “tampal perak” atau “silver fillings,” adalah 43 hingga 54% merkuri. Antara 313 dan 411 tan merkuri adalah digunakan setiap tahun di seluruh dunia untuk amalgam gigi, iaitu merangkumi 10% daripada penggunaan merkuri. Jumlah signifikan merkuri ini akhirnya memasuki alam sekitar kita melalui pelbagai laluan.

Apabila amalgam gigi adalah dalam alam sekitar, mikroorganisma boleh menukar unsur merkuri ke metilmerkuri , satu bentuk yang sangat toksik yang membina dalam ikan, kerang dan haiwan yang makan ikan. Metilmerkuri boleh merosakkan pembangunan otak kanak-kanak dan sistem saraf malah sebelum mereka dilahirkan.
Konvensyen Minamata mengenai Merkuri dipersetujui di Geneva pada Januari 2013, dan akan ditandatangani di Minamata, Jepun, pada bulan Oktober. Perjanjian global ini adalah satu langkah penting dalam melindungi kesihatan awam dan alam sekitar dari pencemaran merkuri Konvensyen ini memerlukan fasa keluar penggunaan amalgam.

Dalam surat kepada CAP, Ketua Pengarah (DG) Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa pada dasarnya Kementerian Kesihatan menyokong kawalan dan program fasa-keluar (phase-out) produk mengandungi merkuri. DG Kesihatan juga menyatakan bahawa dari segi penggunaan amalgam usaha-usaha sedang diambil untuk meminimakan penggunaan amalgam di kalangan kanak-kanak, wanita hamil dan golongan yang sensitif; menggalakkan penggunaan bahan bebas merkuri untuk pemulihan pergigian; dan menghadkan penggunaan amalgam kepada bentuk encapsulated.

Dr. Shahriar Hossain, daripada NGO Environment and Social Development Organization, Bangladesh, menyatakan, “Ia bukan sesuatu yang luar biasa bagi pengeluar produk toksik atau tidak selamat untuk beralih jualan mereka ke negara-negara yang berpendapatan rendah selepas sesuatu produk adalah dihadkan oleh pihak berkuasa di negara-negara kaya. Kami berazam bahawa ini tidak berlaku dengan tampalan merkuri." 

Dentsply, beribupejabat di York, Pennsylvania, mempunyai jualan $3 billion dan, selain dari Amerika Utara, mempunyai pejabat di Afrika, Asia, Eropah, dan Oceania. Ia mengeluarkan peralatan dan peranti pergigian semua jenis, termasuk semua alternatif utama amalgam. Sekumpulan rakyat tempatan , South-Central Pennsylvanians for Mercury-Free Dentistry telah menggesa Dentsply untuk berhenti menghasilkan amalgam, yang terdiri kira-kira 50% merkuri.

"Daripada menjadi warga korporat yang baik, Dentsply tidak begitu mengambilkira rayuan daripada kumpulan warga tempatan," kata Charlie Brown dari Pengguna untuk Pilihan Pergigian dan presiden Perikatan Dunia Untuk Pergigian Tanpa-Merkuri. "Daripada memperluaskan jualan bahan-bahan yang tidak mencemarkan, Dentsply nampaknya cenderung untuk meneruskan perdagangan toksik ke negara-negara membangun."

CAP dan SAM menggesa kerajaan Malaysia untuk mengawasi dengan rapi pengimportan amalgam gigi dan lain-lain produk yang mengandungi merkuri yang digunakan dalam sektor penjagaan kesihatan untuk mengelakkan lambakan. Kementerian Kesihatan perlu mengambil tindakan wajar dengan segera bagi menetapkan matlamat dan jangkamasa untuk mengurangkan dan menghapuskan penggunaan merkuri dan bergerak ke arah matlamat penjagaan kesihatan bebas-merkuri.

S.M. MOHAMED IDRIS
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang & Sahabat Alam Malaysia

Nota kepada Pengarang

World Alliance for Mercury-Free Dentistry,(Perikatan Dunia Untuk Pergigian Tanpa-Merkuri) www.toxicteeth.org yang diasaskan pada tahun 2010, telah berjaya dalam kempen di rundingan-rundingan perjanjian untuk melibatkan amalgam dalam Konvensyen Minamata. Ia adalah gabungan NGO dari enam benua, dengan sepuluh naib presiden. Perikatan Dunia kini memberi tumpuan kepada melaksanakan fasa keluar amalgam yang dimandatkan untuk seluruh dunia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Konvensyen Merkuri Minamata (Minamata Convention on Mercury), sila rujuk http://www.unep.org/…/tabid/3320/language/en-US/Default.aspx

Untuk maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:

Mageswari Sangaralingam, Malaysia, magesling@gmail.com;
Dr. Shahriar Hossain, Bangladesh, shahriar25@gmail.com;
Charlie Brown, Amerika Syarikat, charlie@toxicteeth.org.

Join Donate