CAP dan SAM tidak memihak sesiapa

Berita di KOSMOBerita dari Kosmo

KENYATAAN AKHBAR                                                                                              21 FEBRUARI 2013

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengutuk kenyataan tidak bertanggungjawab Datuk Fuad Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bahawa beliau mengesyaki yang kami ada persefahaman dengan pihak-pihak yang hendak melihatkan Kerajaan Barisan Nasional jatuh. Tuduhan ini adalah tidak berasas dan merupakan fitnah.

Tuduhan beliau bahawa kami tidak tegur atau kritik Kerajaan Negeri Kedah yang dipimpin oleh PAS dalam kes aktiviti pembalakan di Tasik Pedu dan Gunung Inas tetapi mempolitikkan segala yang membabitkan Kerajaan Persekutuan adalah tidak berasas dan mendedahkan kejahilan dan keadaan terdesak beliau.

Beliau tidak berhak menuduh kami yang sekian lama memperjuangkan keadilan sosial dan alam sekitar, sebagai tidak patriotik dan seiring dengan agenda NGO asing.

CAP dan SAM adalah pertubuhan akar umbi, bukan bermatlamat keuntungan, merupakan pertubuhan bukan kerajaan dan sejak penubuhannya bersifat neutral serta tidak memihak parti politik dalam memperjuangkan hak-hak masyarakat dan keadilan alam sekitar.

Dalam bidang melindungi alam sekitar, CAP dan SAM berani membela hak rakyat untuk persekitaran yang sihat. Kami telah memperjuangkan kepentingan rakyat dan masyarakat dalam menangani masalah pencemaran serta penggunaan dan pengurusan tidak mampan tanah dan lain-lain sumber asli di semua negeri di Malaysia. Kami tidak memilih isu-isu yang akan diambil tindakan berdasarkan fahaman politik atau kepimpinan negeri.

Kami membantu masyarakat yang telah atau mungkin akan terjejas oleh projek-projek pembangunan atau pengekstrakan dan eksploitasi sumber asli. Ia tidak kira sama ada masyarakat atau isu-isu tersebut berada dalam Negeri yang diketuai oleh parti pemerintah atau pembangkang.

Mengenai isu pembalakan di Kedah, baru-baru ini pada 31 Januari 2013, CAP dan SAM mengadakan sidang akhbar dengan Sahabat (Friends of) Ulu Muda untuk menyerlahkan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda, hutan tadahan air yang penting. Selama bertahun-tahun, CAP telah menulis surat kepada pihak berkuasa dan mengeluarkan kenyataan akhbar bagi isu-isu yang berkaitan kemusnahan hutan di Gunung Raya di Langkawi; Rimba Teloi di Sik; Bukit Perak di Pendang; Gunung Bongsu di Kulim; Gunung Inas dan Pedu.

Selain isu-isu pembalakan, CAP dan SAM juga mengkritik kejuruteraan genetik, tenaga nuklear, pembangunan empangan, insinerator, projek jalan raya mega seperti Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang, Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur, Lebuhraya Tanah Tinggi (Highlands Highway) di Banjaran Titiwangsa yang telah dibatalkan dan banyak lagi isu lain.

Kami juga telah menegur Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana meluluskan projek-projek pembangunan di bukit serta projek-projek yang dicadangkan iaitu merangkumi terowong bawah laut yang menghubungkan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam; tiga lebuh raya – pintasan yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, hubungan antara Bandar Baru Air Itam ke lebuhraya yang sama dan jalan dua lorong menghubungkan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang yang akan mempunyai impak alam sekitar yang serius.

Kami telah membantu beratus-ratus komuniti dan berjuang menentang teknologi dan projek-projek pembangunan yang membinasakan. Tiada satu pun daripada ini dilakukan kerana kami diarahkan oleh mana-mana parti politik atau pemberi dana. Kami adalah adil dalam menentang penyalahgunaan kuasa dan akan terus menentang ketidakadilan.

Kenyataan Datuk Fuad Hassan merupakan satu fitnah yang sangat serius pada CAP dan SAM dan kami telah merujuk perkara ini kepada peguam kami untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.


S.M. MOHAMED IDRIS
Presiden

Join Donate