CAP & SAM bimbang kerja-kerja pembinaan tiga lebuhraya utama di Pulau Pinang akan dimulakan tidak lama lagi

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                   13  JANUARI 2016

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) bimbang mengetahui kerja-kerja pembangunan projek tiga lebuh raya di Pulau Pinang akan dimulakan seawal Jun 2016. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri, Chow Kon Yeow, dipetik oleh media bahawa tiga lebuh raya itu amat kritikal untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

Ianya amat membimbangkan bahawa projek jalan yang mungkin akan memberikan kesan alam sekitar yang ketara dan menjejaskan kesejahteraan penduduk sekitar laluan itu akan dilaksanakan tanpa rundingan awam yang sempurna.

Tiga projek lebuhraya tersebut iaitu Jalan Berkembar Persisiran Utara Tanjung Bungah -Teluk Bahang; Jalan Pintasan Air Itam - Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu; dan Jalan Pintasan Persiaran Gurney - Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu melibatkan laluan melalui kawasan perumahan, kawasan komersial, bukit-bukau dan kawasan awam.

Pada September 2015, CAP dan SAM telah menyuarakan bantahan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung keperluan penggerak projek tiga lebuhraya tersebut hanya perlu mengemukakan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) Awal. Ini bermakna orang ramai tidak mempunyai peluang untuk menyemak laporan EIA Awal tersebut dan memberikan maklumbalas mereka.

Surat kami kepada JAS yang menggesa supaya laporan EIA terperinci dikemukakan untuk membolehkan penyertaan awam masih tidak berjawap. Kami juga mempersoalkan keperluan projek lebuhraya-lebuhraya tersebut. Kita perlu menggerakkan orang, bukan kenderaan. Kita memerlukan perubahan dalam perancangan perbandaran dan pengangkutan untuk memastikan pengangkutan awam yang lebih cekap, mampu serta boleh dipercayai.

Oleh itu, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) tidak seharusnya membina lebih banyak lebuhraya yang menggalakkan penggunaan lebih banyak kenderaan persendirian. Kami menggesa kerajaan negeri supaya memikirkan semula dan meneliti kembali pelan pengangkutan negeri Pulau Pinang. Pengangkutan awam, berbasikal dan berjalan kaki perlu diutamakan berbanding kereta. 

 

S. M. Mohamed Idris

Presiden

Join Donate