Gajah Tidak Setanding Dengan Pemburu Haram

Kenyataan Akhbar                                      20 Januari 2017

Gajah adalah tidak setanding dengan pemburu haram. Pembunuhan dua ekor gajah pigmi Borneo menunjukkan pemburu haram berada di mana-mana sudut negara ini menunggu masa untuk menyerang bila-bila masa yang tidak dijangka.

Di masa lalu, gajah pigmi menjadi mangsa keracunan yang dilaporkan dilakukan oleh pekerja ladang kelapa sawit untuk menghalang gajah-gajah ini daripada memakan buah pokok kelapa sawit. Pada September lepas, sekumpulan gajah terperangkap dalam kolam berlumpur di Rinukut selama seminggu mengakibatkan tujuh kematian.

Berapa banyak lagikah bencana yang akan menimpa gajah-gajah ini sebelum Kerajaan Sabah menerima hakikat bahawa usaha bersepadu dan perlindungan yang serius daripada semua agensi berkaitan dan kesungguhan politik adalah diperlukan jika mahu hidupan liar ini terus hidup di Sabah? Menggabungkan bersama kawasan pemuliharaan empat kali saiz Pulau Pinang tidak akan membantu jika rizab hutan dilindungi sepenuhnya Kelas 1 boleh dinyahwartakan lagi atau dipisahkan oleh jambatan di pertengahan tempat perlindungan.

Dalam kes penyembelihan mengerikan terhadap gajah-gajah ini, apa yang membawa kepada pengakhiran ini ialah publisiti meluas diberikan terhadap gading gajah yang bengkok ke bawah.

Kementerian Alam Sekitar Sabah dan pihak berkuasa berkenaan seharusnya lebih mengetahui berbanding membuat pendedahan terhadap penemuan mereka. Dengan imej gajah kecil ini menjadi tular di media sosial dan media cetak dan elektronik, ini akan mencetuskan keinginan pemburu haram untuk mendapatkan gading gajah yang amat bernilai itu. Jangan lupa Internet kini menjadi saluran pilihan bagi pedagang dan pemburu haram hidupan liar. Imej yang dipaparkan di laman seperti Facebook, Twitter dan Instagram semuanya boleh menjadi butiran lokasi spesies yang boleh dikhianati.

Pemburu haram mengeledah laman media sosial terkenal mencari sebarang petunjuk untuk mencari di mana spesies terancam. Ramai yang tidak menyedari bahawa pemburu haram mampu untuk menggunakan gambar singa, harimau dan gajah untuk mencari dan membunuh spesies dengan memuatturun data digital bersama imej yang akan mendedahkan lokasi sebenar haiwan. Banyak kamera moden dan telefon pintar secara automatik merekodkan lokasi dan waktu dengan tepat di mana imej diambil dan data ini sering dipindahkan apabila gambar ini dimuatnaik ke media sosial.

Dalam zaman kepupusan ini, kerajaan suka untuk untuk mencanangkan sebarang penemuan spesies nadir atau unik, mendedahkan data geografi dan biologi. Pilihan untuk strategi “mengumumkan dan melindungi” mestilah berdasarkan kerahsiaan terutama sekali di mana kedudukan sebenar lokasi spesies, manakala menjadikan semua penyelesaian pemuliharaan yang lebih berkesan adalah lebih penting. Publisiti sama ada boleh menjana sokongan politik dan kewangan untuk mencegah spesies daripada menjadi pupus atau ia akan memakan diri apabila publisiti mewujudkan ancaman yang sebelum ini tiada.

Penemuan unik memerlukan campur tangan pemuliharaan utama dengan segera, yang memberikan rekod pemuliharaan di Sabah tidak mungkin berkesan. Sama ada spesies disenaraikan sebagai diancam kepupusan atau terancam bergantung kepada beberapa faktor, termasuk kesegeraan dan sama ada perlindungan yang mencukupi wujud melalui cara lain.

The Guardian UK melaporkan jurnal akademik mula melindungi lokasi geografi penemuan spesies baharu selepas diberi amaran bahawa data itu membantu pemburu haram dan penyeludup cicak, katak dan ular yang hampir pupus dengan koleksi mereka. Haiwan dan tumbuhan terancam sering menjadi sasaran penjenayah hidupan liar kerana ia jarang didapati. International Union for Conservation of Nature (IUCN) mempunyai garis panduan melarang penerbitan data lokasi bagi spesies terancam yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

Kini tiba masanya hidupan liar kita tidak berada dalam risiko atau terdedah kepada kehilangan, bahaya, kematian atau cedera melalui publisiti yang meluas.

 

S. M. Mohamed Idris

Presiden

Join Donate