Gesaan untuk segera menghentikan penukaran hutan ke ladang

Forested areas for plantation

SURAT KEPADA PENGARANG                                                                                        19 JANUARI 2015

Mengambil kira betapa dasyatnya banjir dan bencana yang baru melanda beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia, pada skala yang tidak pernah disaksikan dalam ingatan semua, dan ditambahkan lagi oleh kesan-kesan perubahan cuaca, SAM menggesa agar kesemua negeri untuk menghentikan penukaran hutan ke perladangan besar di Malaysia.

Analisa kami terhadap data perhutanan di negara ini menunjukkan yang berikut. 

Semenanjung Malaysia 

Dari 2008 ke 2013, tiada perubahan ketara yang dapat dikesan tentang keluasan kawasan berhutan dan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh Laporan Tahunan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Pada tahun 2008, saiz kawasan berhutan dilaporkan sebagai 5.8 juta hektar dan saiz HSK dilaporkan sebagai 4.8 juta hektar. Pada tahun 2013, cuma ada sedikit peningkatan kecil HSK kepada 4.9 juta hektar. 

Namun begitu, di sebalik kestabilan statistik ini, satu unit data perhutanan di Semenanjung Malaysia sebenarnya ada menunjukkan peningkatan yang mendadak dalam jangkamasa tersebut. Data ini adalah berkenaan dengan saiz ‘ladang hutan’ di dalam HSK, yang mana tanaman getah klon balak dan pokok kayu lain adalah tanaman pilihan. 

Sebenarnya, ‘ladang hutan’ ini adalah satu konsep yang sedia ada bercanggah dari segi bahasa. Hutan terbina secara semulajadi oleh tumbuhan-tumbuhan dan kepelbagaian bio yang tinggi. Ianya melakukan pelbagai fungsi ekologi, termasuklah sebagai sistem tadahan air. Ladang pula adalah pertanian monokultur yang besar yang dipenuhi oleh tanaman, mendatangkan bencana kepada kawasan tadahan air, ekosistem dan kepelbagaian bio. 

Pada tahun 2008, keseluruhan luas kawasan berhutan yang dikelaskan sebagai ladang kayu telah dilaporkan sebagai 108,512 hektar. Pada 2013, angka ini telah meningkat naik kepada 324,417 hektar, atau 6.6 peratus dari HSK. Ini adalah loncatan hampir 200 peratus dalam masa cuma lima tahun. 

Kelantan memiliki keluasan terbesar kawasan HSK yang dikelaskan sebagai ladang kayu ini, pada 162,485 hektar, atau 26.0 peratus dari HSKnya (623,849 hektar). Malah, laman sesawang Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan telah menyatakan bahawa negeri tersebut telah memperuntukkan sejumlah 199,352 hektar dalam HSKnya sebagai Latex Timber Clone Plantation Zone (Ladang Zon LTC), yang walau bagaimanapun tidaklah bermakna bahawa keseluruhan zon akan dibangunkan. Sehingga 2010, 115 buah syarikat telah diberi kebenaran untuk membangunkan ladang-ladang LTC di atas 91,030 hektar atau 14.6 peratus dari HSKnya.  

Ini diikuti oleh Perak, yang memiliki 56,503 hektar kawasan HSK yang dikelaskan sebagai ladang atau 5.6 peratus dari HSKnya (1.0 juta hektar). Johor pula memiliki 45,544 hektar atau 10.5 peratus dari HSKnya (432,209 hektar). Pahang memiliki 31,831 hektar atau 2.0 peratus dari HSKnya (1.56 juta hektar). Terengganu memiliki saiz yang lebih kecil, yakni 3,833 hektar, atau 0.7 peratus dari HSKnya (544,855 hektar). 

Oleh itu, secara keseluruhannya, data tahun 2013 ini menunjukkan peningkatan seluas 126,588 hektar, dari 197,829 hektar, angka yang dilaporkan pada 2012. Kelantan sekali lagi memberikan sumbangan yang tinggi kepada peningkatan ini, menambahkan lagi sejumlah 57,971 hektar kepada saiz 104,514 hektar. Perak melaporkan satu lagi peningkatan tinggi kepada 56,503 hektar dari 1,680 hektar. 

Sementara itu, pada 2012, seluas 13,486 hektar ladang-ladang ini telah dilesenkan untuk pengusahasilan. Ini mengambil tempat di Kelantan (5,824 hektar), Pahang (5,183 hektar) dan Johor (2,479 hektar). Pada 2013, seluas 6,947 hektar pula telah dilesenkan untuk pengusahasilan; Pahang (5,421 hektar), Kedah (889 hektar), Johor (557 hektar) dan Perak (80 hektar). 

Untuk memahami sepenuhnya maksud data-data ini, kami meminta agar Jabatan Perhutanan untuk memberikan penjelasan tentang perkara-perkara berikut.  

Apakah sebenarnya maksud sesebuah ‘jenis hutan’ itu dikelaskan sebagai ‘ladang hutan’? Setakat manakah kadar pertukaran dari hutan ke ladang yang akan dilakukan? Apakah keluasan kesemua ladang kayu yang telah dibangunkan di Semenanjung pada hari ini? Bolehkah data tahunan tentang kawasan ladang yang dilesenkan untuk pengusahasilan digunakan untuk menganggarkan keluasan kesemua ladang yang telah dibangunkan, atau haruskah kita merujuk kepada angka yang dilaporkan sebagai ‘ladang hutan’, yang meloncat dari 197,829 hektar kepada 324,417 hektar, hanya dari tahun 2012 ke 2013?

States within PRF for plantations

Sabah & Sarawak 

Di Sabah, maklumat tentang ‘ladang hutan’ turut boleh didapati dari Laporan Tahunan Jabatan Perhutanan Sabah. Pada 2012, Sabah memiliki seluas 265,904 hektar ladang kayu, yang mana sejumlah 130,184 hektar terletak di dalam Hutan Simpanan. Sehingga 2013, keluasan ladang-ladang ini telah meningkat kepada 271,110 hektar, yang mana seluas 149,507 hektar terletak di dalam Hutan Simpanan. Selain dari getah, akasia, eukaliptus dan dipterokarp, pembangunan ‘agroforestry’ turut membenarkan penanaman kelapa sawit, termasuklah di Hutan Simpanan. 

Di Sarawak pula, laman sesawang Jabatan Hutan Sarawak mengesahkan bahawa setakat 2013, Sarawak telah mengeluarkan sejumlah 43 buah lesen ladang kayu untuk 2,827,372 hektar di bawah sistem Licence for Planted Forest (LPF), yang mana kawasan yang boleh ditanam adalah dijangka seluas 1,595,398 hektar. Banyak kawasan LPF ini turut terletak di dalam kawasan terwarta Kawasan Hutan Kekal (PFE). Setakat 2012, seluas 306,486 hektar kawasan LPF telah dibangunkan. Pada 2013, angka ini telah meningkat kepada 471,892 hektar. Dari ini, 325,314 hektar telah ditanam dengan pokok kayu sementara 146,578 hektar telah ditanam dengan kelapa sawit. Seperti Sabah juga, penanaman kelapa sawit turut dibenarkan di kawasan LPF, termasuklah di dalam PFE, untuk sebuah pusingan 25 tahun di bawah kadar 20 peratus kawasan yang boleh ditanam.PRF Data Source Table

Soalan-soalan lanjut dan gesaan-gesaan 

Data di atas menunjukkan bahawa setakat 2013, kawasan berhutan seluas 324,417 hektar di Semenanjung, 271,110 hektar di Sabah dan 2,827,372 hektar di Sarawak telah pun dikhususkan untuk pembangunan ladang kayu dan kelapa sawit. Jika bahagian Sarawak dikurangkan ke kawasan yang boleh ditanam seluas 1.6 juta hektar, keseluruhan luas kawasan ini akan masih lagi mencecah 2.2 juta hektar, atau 12.2 peratus dari 18.0 juta hektar kawasan berhutan di Malaysia pada 2013 – besar sedikit dari keluasan Perak. Jika bahagian Sarawak dikurangkan lagi hanya ke kawasan yang sudah dibangunkan, angka ini masih lagi setinggi 1.1 juta hektar, atau 5.9 peratus dari kawasan berhutan negara – sedikit kecil dari Terengganu. Menyulitkan lagi keadaan adalah tentunya kemungkinan kehilangan hutan ini tidak dilaporkan dengan tepat oleh statistik perhutanan kita. 

Persoalan yang paling mendesak di sini adalah tentunya, bilakah pembangunan ini akan berhenti? Malah, pembangunan agresif ini oleh negeri-negeri kelihatannya sejajar dengan Dasar Industri Kayu Balak Kebangsaan 2009 – 2020 (National Timber Industry Policy – NATIP). Antara 2006 dan 2020, NATIP telah membuat sasaran untuk membangunkan seluas 375,000 hektar ladang kayu di kawasan-kawasan yang dipilih seluruh negara, yang mana peruntukan ‘awal’ sejumlah RM 180 juta telah pun dibuat untuk membantu industri ini. 

Oleh itu, kami pertamanya di sini ingin meminta Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia untuk memberikan penjelasan kepada soalan-soalan yang telah pun dikemukakan di atas. 

Keduanya, kami percaya bahawa Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang melancarkan NATIP, harus juga menyatakan jika mereka mempunyai sebarang niat untuk mengkaji semula sasaran-sasaran dasar ini. 

Ketiganya, pihak berkuasa kita juga haruslah menghentikan amalan mengelirukan yang mengkelaskan ladang-ladang kayu balak, kayu getah dan kelapa sawit di dalam kawasan berhutan.  

Malah, ladang-ladang ini seharusnya tidak berada di dalam sebarang hutan terwarta. Namun hari ini, Kompendium Perangkaan Alam Sekitar 2013 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan telah turut menakrifkan ‘ladang hutan’ sebagai ‘kawasan yang ditanam dengan pokok atau tumbuh-tumbuhan hutan, sama ada daripada spesies tempatan atau dagang, dengan kaedah tanaman secara terbuka yang luasnya tidak kurang daripada 50 hektar. Ladang hutan boleh merangkumi kawasan yang terletak di dalam atau di luar HSK’. 

Oleh itu, jika kita benar-benar serius berhasrat untuk mengelakkan tragedi di masa hadapan, penukaran hutan ke perladangan besar ini mestilah dihentikan. 

S.M. Mohamed Idris

Presiden

 

Join Donate