Gurney Wharf: Taman-dalam-bandar di pesisir pantai buatan

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                 25 FEBRUARI 2016

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan rancangan untuk membina taman awam pesisir pantai baharu yang dinamakan sebagai Gurney Wharf di pinggir pantai Persiaran Gurney yang akan ditebusguna tidak lama lagi. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan pemulihan pinggir pantai Persiaran Gurney dan pembinaan taman untuk mewujudkan keadaan yang lebih hijau TETAPI bukan begitu caranya.

Taman pesisir pantai itu akan diwujudkan di atas tanah yang akan ditebusguna oleh Tanjung Pinang Development Sdn. Bhd (TPD) dan akan mempunyai kawasan perniagaan minuman dan makanan di pinggir pantai, taman air, pantai buatan manusia dan taman pesisir pantai. TPD akan menebusguna 131 ekar tambahan sepanjang Persiaran Gurney untuk kerajaan Pulau Pinang sepertimana perjanjian konsesi untuk menambak tanah bagi Seri Tanjung Pinang 2. 

Isu utama yang perlu diberi perhatian adalah perolehan bahan untuk kerja menebusguna ini termasuk pasir dan batu. Untuk membina taman ini, anda sebenarnya menyebabkan kesan kerosakan kepada alam semula jadi di tempat lain disebabkan kerja kuari dan perlombongan pasir atau aktiviti mengorek untuk mendapatkan bahan untuk kerja menambak laut. 

Ke manakah komitmen kepada keadilan alam sekitar  bagi semua? Pada satu bahagian kita “menghijaukan dunia” tetapi pada masa yang sama memupuskan sumber semula jadi dan kemusnahan alam sekitar berlaku di bahagian lain. Orang ramai juga tidak menyedari implikasi pembangunan seperti ini melainkan ia berlaku di tempat mereka sendiri.    

Tambahan lagi, kesan tambak laut dan gangguan terhadap alam semula jadi serta bentuk semula jadi pulau masih belum difahami sepenuhnya. SAM menerima aduan daripada orang ramai bahawa pantai di sepanjang pantai Tanjong Bungah dipenuhi dengan selut pada dasar laut, menjadikannya sukar untuk berenang. Kami tidak pasti apakah penyebab kepada perkara ini tetapi lebih banyak kerja menambak laut akan seterusnya merosakkan laut dan pantai kita. 

Satu lagi isu yang menjadi kebimbangan ialah pembinaan pantai berpasir tiruan. Pembangunan pesisir pantai pada asasnya “satu keadaan alam semula jadi tiruan”. Kita perlu memahami terlebih dahulu kenapa kawasan pinggir pantai Persiaran Gurney menjadi berlumpur. Beberapa dekad yang lalu pantai Gurney Drive adalah berpasir dan dengan itu punca masalah mendakan ini perlu  ditangani terlebih dahulu. Jika tidak, menyelenggara pantai buatan ini akan menjadi mahal. Terdapat juga isu perolehan pasir untuk beberapa tahun akan datang jika pinggir pantai itu terus berlumpur. 

Media melaporkan bahawa kos projek akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri tetapi kerajaan negeri masih belum mengumumkan kosnya. Kami amat bimbangkan mengenai kesan langsung dan tidak langsung ke atas ekonomi dan alam sekitar daripada projek ini. Sudah tentu terdapat cara lain untuk memulihkan pesisir pantai Persiaran Gurney tanpa projek pada magnitud dan implikasi sebesar ini. 

Kami mahukan kecantikan semula jadi Pulau Pinang dan bukannya Pulau Pinang buatan manusia.        

 

S. M. Mohamed Idris

Presiden

 

Join Donate