Helah untuk rancangan yang mencurigakan - menghentikan pengeluaran lesen pembalakan hanya tabir asap untuk mendorong ladang hutan

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                    14 OKTOBER 2014

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sekali lagi mengejutkan orang awam apabila beliau mengumumkan pada 9hb Oktober bahawa ‘tiada lesen balak baru akan dikeluarkan’ sehingga masalah pembalakan haram dan penyeludupan balak dibanteras.

 

Walaupun Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyambut baik tindakan Tan Sri Adenan yang seolah-olahnya bersungguh-sungguh ingin mengatasi gejala pembalakan haram tetapi kami tidak yakin bahawa tindakan tersebut akan dapat menghentikan aktiviti pembalakan haram atau menyelamatkan kawasan hutan yang masih tinggal di dalam negeri Sarawak.

Malahan, sekiranya pengumuman ini dilaksanakan, ia adalah sekadar ‘tabir asap’ bagi aktiviti penggantian hutan “miskin” kepada perladangan kelapa sawit atau perladangan hutan yang disifatkan sebagai penanaman semula hutan.

Sebenarnya, tidak ada keperluan langsung untuk pengeluaran lesen baru untuk pembalakan kerana tidak ada lagi kawasan hutan yang mempunyai balak yang bernilai komersial. Tiga dekad pembalakan hutan yang tidak mampan telah melupuskan hutan dengan serius. Keadaan inilah yang mencetuskan pengeluaran lesen perladangan hutan dalam satu dekad yang lepas.

Secara hakikinya, jumlah lesen perladangan hutan (atau nama singkat dalam bahasa Inggeris, LPF - Licence for Planted Forest) yang terkini telah melebihi 45 lesen. Kebanyakan kawasan LPF ini yang bertindih dengan kawasan konsesi pembalakan merupakan permit dwi-fungsi: pertama, untuk menebang bersih kawasan hutan miskin (tanpa memerlukan lesen pembalakan) dan keduanya, untuk mendirikan perladangan hutan sejenis spesis.

Oleh yang demikian, adalah tidak jujur oleh pihak kerajaan persekutuan dan negeri Sarawak mendakwa bahawa Skim Perladangan Hutan adalah untuk melindungi hutan semulajadi yang masih wujud apabila pendekatan dasar tersebut adalah berlanjutan daripada pengurusan hutan yang tidak mampan. Lebih teruk lagi ialah pemberian pinjaman mudah dan peruntukan kerajaan Persekutuan, mewujudkan insentif negatif yang menggalakkan penggantian hutan semulajadi, sungguhpun terlupus,  menjadi perladangan hutan pokok yang tumbuh cepat.

Kami mengulangi cabaran kami kepada Tan Sri Adenan untuk ‘menunaikan janjinya’ untuk membanteras pembalakan haram dengan mengambil tindakan segera terhadap pembalakan haram pokok tapang di kawasan Sg Pelutan yang telah didedahkan oleh SAM awal bulan ini.

Seterusnya, kami mencabar Ketua Menteri untuk:

  • Mengumumkan senarai terkini lesen pembalakan dan lesen perladangan hutan, nama pemegang lesen, saiz konsesi, tempoh dan tarikh luput lesen demi ketelusan dan kebertanggungjawaban sektor perhutanan
  • Menghentikan serta-merta penggantian hutan terlupus/miskin menjadi perladangan hutan
  • Melaksanakan aktiviti penanaman semula hutan dengan penglibatan masyarakat tempatan dan Orang Asal. 

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate