HENTIKAN AKTIVITI PEMBALAKAN DAN PEMUSNAHAN HUTAN - Pemberian Tong Percuma Bukan Jalan Penyelesaian Masalah Bekalan Air Di Kedah

balak ulu mudaLonggokan balak yang ditebang di Hutan Simpan Ulu Muda                 Gambar : SAM

Kenyataan Media                                         15 Jun 2017

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Kedah mengambil tindakan menghentikan segera aktiviti pembalakan dan pemusnahan hutan dalam usaha mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di negeri ini.

Tumpuan utama yang perlu diberikan ialah punca kawasan tadahan air yang terancam akibat aktiviti tersebut. Kalau beri tong kepada pengguna atau menukar paip lama kepada yang baru pun tidak ada gunanya jika paip akan terus kering kerana sumber air iaitu hutan di negeri ini terus dimusnahkan

hutan di tebangPenerokaan hutan di Kedah          Gambar : SAM

SAM kesal kerana kerajaan Kedah masih tidak memberi perhatian serius berhubung isu pembalakan dan aktiviti pemusnahan hutan di negeri ini sehingga masalah bekalan air semakin meruncing dihadapi para pengguna.

Tinjauan SAM mendapati selain masalah bekalan air paip yang berlaku di kebanyakan daerah di negeri ini, sumber air semulajadi dari sungai-sungai dan bukit bukau juga telah tercemar dengan serius akibat aktiviti pembalakan dan kerja-kerja mengorek pasir yang tidak terkawal.

Paras air di dua empangan utama iaitu Pedu dan Muda amat membimbangkan kerana hutan di kawasan Ulu Muda yang menjadi tempat tadahan air telah terancam akibat aktiviti pembalakan.

SAM menganggarkan majoriti daripada pengguna air yang menghadapi masalah ini terdiri dari mereka yang tinggal di luar bandar manakala yang lainnya adalah penghuni taman perumahan dan rumah pangsa di kawasan bandar.

Daerah yang paling teruk mengalami masalah bekalan air di negeri ini ialah Padang Terap, Pendang, Kubang Pasu, Kulim, Baling, Sik, Pokok Sena dan Kuala Muda. Turut terjejas akibat masalah kekurangan bekalan air di negeri ini ialah para pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan luar MADA.

Sehubungan itu SAM berharap kerajaan Kedah merancang dan mengambil tindakan lebih berkesan untuk jangka masa panjang bukan sekadar langkah sementara bagaikan melepas batuk di tangga di mana masalah ini berulang lagi pada masa depan.

SAM bimbang dan percaya jika punca masalah tersebut gagal ditangani oleh kerajaan Kedah, dua tiga tahun mendatang negeri jelapang padi ini akan ketandusan sumber sekaligus memberi kesan yang lebih buruk ke atas kehidupan seluruh rakyatnya.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate