Hentikan kuasa nuklear sekarang!

Ini adalah kenyataan bersama NGO-NGO lain dalam Malaysia Coalition Against Nuclear

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                          04 OGOS 2015

Kami, rakyat dan pertubuhan masyarakat sivil dalam Gabungan Menentang Nuklear Malaysia (Malaysian Coalition Against Nuclear - MyCAN) yang bertandatangan di bawah menolak kuasa nuklear sebagai pilihan untuk keperluan tenaga Malaysia.

Kami menentang kuasa nuklear sebab: 

  • Kuasa nuklear adalah pada hakikatnya tidak selamat. Kajian menunjukkan bahawa penduduk yang tinggal sekitar 100km dari loji kuasa nuklear (nuclear power plants - NPPs) ada peluang yang lebih tinggi untuk menghidapi kanser, leukemia dan kecacatan DNA. Sisa nuklear kekal radioaktif untuk beribu-ribu tahun dan tidak boleh dilupus dengan selamat. NPPs adalah terdedah kepada bencana alam dan kemalangan, kesilapan manusia serta sabotaj atau serangan pengganas. 
  • Kuasa nuklear adalah sangat mahal, dari kos mendapatkan uranium, pembinaan dan kos operasi NPPs, pengurusan sisa nuklear dan penyahtauliahan loji.
  • Kuasa nuklear tidak bersih atau hijau. Setiap langkah - dari perlombongan bijih uranium, pengilangan, pemprosesan, fabrikasi bahan api, pembinaan reaktor, pemprosesan semula bahan api, penyahtauliahan dan penyimpanan sisa - melepaskan gas rumah hijau, zarah radioaktif dan bahan-bahan toksik yang meracuni udara, air dan tanah.
  • Kuasa nuklear akan menjadikan Malaysia tidak terjamin dari segi tenaga kerana pergantungan kepada teknologi asing dan pengimportan bekalan bahan nuklear. 

Atas alasan-alasan tertera di atas, kami menolak Rang Undang-undang Kawalseliaan Tenaga Atom yang mungkin akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang dari 19 Oktober ke 3 Disember 2015. Rang Undang-Undang ini akan membuka pintu untuk penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan elektrik. 

Kami juga membantah keras forum awam yang dijalankan oleh Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (Malaysia Nuclear Power Corporation - MNPC), yang mempunyai agenda dalam mempromosikan tenaga nuklear. Kami berpandangan bahawa ianya suatu bentuk propaganda untuk tujuan mempromosikan kuasa nuklear dan memperdaya orang ramai untuk menerima kuasa nuklear. 

Kerajaan menyembunyikan kemajuan sebenar hala tuju kuasa nuklear. Dari satu segi, Kerajaan menegaskan bahawa ia masih belum membuat keputusan mengenai penjanaan kuasa nuklear, manakala di segi yang lain, Kerajaan bersedia untuk membentangkan rang undang-undang yang akan membuka jalan kepada penjanaan kuasa nuklear di Malaysia. 

Ia telah lama menjadi cita-cita pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menggunakan kuasa nuklear di Malaysia. Pada tahun 2010, kerajaan telah menerima Dasar Nuklear Negara. Kuasa nuklear juga termasuk dalam Dasar Tenaga Baru (2010), dan loji kuasa nuklear unit berkembar dalam anggaran kos RM23billion dirancang di bawah Program Transformasi Ekonomi. 

Pada tahun 2011, MNPC yang melapor terus ke pejabat Perdana Menteri, telah ditubuhkan untuk menerajui, merancang dan menyelaras pelaksanaan program kuasa nuklear yang dijangka menyiapkan loji kuasa nuklear pertama di Malaysia menjelang 2021. 

Dalam Rancangan Malaysia ke-11, rujukan berikut untuk kuasa nuklear menyimpulkan bahawa penerima-gunaan kuasa nuklear bukan lagi persoalan jika tetapi persoalan bila: “...program komunikasi dan kesedaran awam untuk meyakinkan penerimaan masyarakat terhadap pembinaan loji janakuasa arang batu dan nuklear untuk jaminan bekalan ...”, dan “Penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga alternatif akan terus diterokai. Dalam hal ini, sebuah suruhanjaya kawal selia tenaga atom yang bebas akan ditubuhkan berdasarkan undang-undang nuklear yang komprehensif bagi penjanaan elektrik. 

Cita-cita kerajaan benar-benar bertentangan dengan kebimbangan dan pandangan rakyat. Survei Kejaminan Tenaga Kebangsaan baru-baru ini yang dijalankan oleh Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Association of Water and Energy Research Malaysia - AWER) menunjukkan 63.41% daripada rakyat Malaysia prihatin terhadap isu-isu keselamatan loji kuasa nuklear dan 66.61% rakyat Malaysia mahu kerajaan mengkaji secara terperinci keperluan tenaga negara terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan kuasa nuklear. 

Dengan demikian kami:  

1.      Menyeru kepada rakyat Malaysia termasuk wakil-wakil rakyat di Dewan Rakyat untuk menolak Rang Undang-undang Kawalseliaan Tenaga Atom. Kami menggesa semua Ahli Parlimen untuk mempertimbangkan kebimbangan masyarakat sivil dan permintaan mereka agar  projek kuasa nuklear ini dihentikan atas alasan kesihatan dan keselamatan awam, ekonomi, kejaminan tenaga, perlindungan alam sekitar dan pembangunan lestari.  

2.      Membantah apa-apa kemajuan lanjut dan mempromosi kuasa nuklear kepada orang awam di Malaysia tanpa proses perundingan awam yang benar-benar adil dan demokratik dan perdebatan mengenai sama ada Malaysia perlu menerokai kuasa nuklear. Proses rundingan awam hendaklah dijalankan oleh badan neutral tanpa sebarang konflik kepentingan. 

3.      Menyokong dan mengukuhkan panggilan rakyat agar kajian terperinci tentang keperluan tenaga negara dijalankan terlebih dahulu. Kami menuntut supaya reformasi tulen sektor tenaga dilaksanakan untuk mengelakkan dari hala tuju kuasa nuklear. Kami yakin bahawa keperluan tenaga sebenar Malaysia, kini dan di masa depan, dapat dipenuhi melalui pengurusan permintaan, dan langkah-langkah pemuliharaan tenaga serta kecekapan tenaga, dan sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui contohnya tenaga solar. Kami menuntut kesaksamaan untuk semua langkah-langkah ini. 

Kenyataan ini disokong oleh:

  1. Consumers’ Association of Penang
  2. Institut Rakyat
  3. Malaysian Physicians for Social Responsibility
  4. Nuke Off! (Belia Tanpa Nuklear)  
  5. Persatuan Belia Perubahan Iklim
  6. Sahabat Alam Malaysia
  7. Third World Network
  8. Treat Every Environment Special Sdn Bhd

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden

Persatuan Pengguna Pulau Pinang & Sahabat Alam Malaysia

Bagi pihak Gabungan  Menentang Nuklear Malaysia/

Malaysian Coalition Against Nuclear (MyCAN)

Join Donate