HENTIKAN sandiwara di sebalik pembotakan Bukit Relau

Botak HillBotak Hill in Relau, Penang

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                            6 OGOS 2013 

Pada 11 Julai 2013, General Accomplishment Sdn. Bhd., syarikat yang didakwa membersihkan tanah bukit dan menjalankan kerja-tanah tanpa kebenaran di Bukit Relau, Pulau Pinang telah didenda RM30,000. Hakim telah memberi ucapan berkobar-kobar tentang keperluan untuk menghantar mesej yang kuat terhadap pembersihan bukit yang dilakukan tanpa izin yang mengakibatkan pemusnahan alam sekitar tetapi denda yang dikenakan oleh beliau tidak menghantar mesej sedemikian.

Botak Hill

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 70A(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). Tetapi hukuman yang dijatuhkan tidak capai hukuman maksimum yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 70A(9) iaitu RM50,000 dan/atau penjara selama lima tahun.

Siapa yang patut mengambil tanggungjawab ke atas degradasi bukit-bukau di Pulau Pinang? Pertamanya, sesiapa sahaja yang berada di tingkat-tingkat tinggi bangunan KOMTAR, di mana pejabat Pentadbiran Negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) terletak, seharusnya boleh melihat kemusnahan yang berlaku. Bagaimana pula dengan pemeriksa tapak Majlis dan jurutera geologi yang sepatutnya turun padang untuk memantau dan memeriksa apa yang berlaku kepada alam sekitar? Adakah mereka perlu orang awam untuk memberitahu mereka tentang kemerosotan alam sekitar dan pelanggaran undang-undang sebelum mereka mengambil notis atau digesa untuk bertindak?

Kita boleh menyaksikan tompok hodoh pembotakan bukit di Batu Maung, Balik Pulau, Tanjung Bungah, Bukit Gambir, Tanjung Tokong, Paya Terubong, Teluk Bahang, Sungai Ara. Adakah semua pembangunan di sini mematuhi syarat-syarat dan undang-undang? Adakah apa-apa tindakan undang-undang telah diambil terhadap pesalah selain daripada perintah berhenti kerja?

Apabila ditanya siapa yang bertanggungjawab bagi perbuatan yang menyalahi undang-undang, pihak Majlis lambat untuk maklumkan. Seorang wartawan yang telah membongkar identiti syarikat tersebut sebelum MPPP umumkan. Apabila Majlis tidak mempunyai pilihan lain kerana isu telah diketahui umum, tindakan undang-undang telah diambil.

Orang ramai diberi gambaran bahawa pihak Majlis adalah serius dalam mengambil tindakan tegas terhadap syarikat itu. Tetapi keputusan mahkamah baru-baru ini mendedahkan sebaliknya. Majlis melalui Timbalan Pendakwa Raya (DPP) telah mendakwa syarikat tersebut bagi kesalahan itu. Tetapi mengapa hanya syarikat dan bukannya pegawai-pegawai, sama ada pengurus atau pengarah, didakwa bagi kesalahan itu jika pendakwa adalah serius tentang menggunakan kuasa penuh undang-undang yang termasuk penjara?

Dengan mendakwa syarikat dan bukan pegawai-pegawai syarikat, ia adalah jelas bahawa satu-satunya hukuman adalah denda wang. Sebuah syarikat tidak boleh dipenjarakan; hanya individu boleh dipenjarakan. Sebuah syarikat tidak boleh membuat keputusan; hanya individu boleh. Jadi mengapa mengelirukan orang ramai untuk mempercayai pihak berkuasa akan mengambil langkah-langkah tegas dengan mengambil laluan undang-undang, tetapi kemudian mendakwa hanya syarikat tersebut?

Selepas keputusan mahkamah, Kerajaan Negeri telah meminta pihak Majlis dan mencadangkan kepada DPP untuk merayu bagi hukuman yang lebih berat. Adakah ini bermaksud merayu atas alasan yang sama dan meningkatkan denda ke RM50,000 dan bukannya RM30,000 yang dikenakan sekarang? Jumlah maksimum denda adalah kurang. Malah ia adalah satu mesej yang jelas kepada pemaju bahawa ia boleh membayar penalti kecil untuk melanggar undang-undang kerana ia hanya sebahagian kecil daripada keuntungan yang boleh dikaut dari menjalankan perniagaan.

Syarikat tersebut sepatutnya didakwa di bawah Seksyen 19 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) jika syarikat itu telah didapati menjalankan pemajuan tanpa kebenaran merancang di mana denda maksimum adalah RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 26(1) Akta tersebut.

Seterusnya, di bawah Seksyen 52A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, pengarah, pengurus, setiausaha atau pegawai lain yang seumpamanya dalam pertubuhan perbadanan itu, serta syarikat, bertanggungjawab bagi perbuatan yang dilakukan di atas nama syarikat.

Di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan nampaknya tiada peruntukan untuk pengarah dipertanggungjawabkan ke atas tindakan syarikat yang membawa kepada pelanggaran undang-undang. Memandangkan keseriusan perbuatan syarikat tersebut, pihak pendakwaan seharusnya membuat pilihan untuk mendakwa syarikat dan pengarah di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa.

Melainkan jika pihak berkuasa mendakwa agen manusia yang merupakan pengarah, bagi pelanggaran undang-undang perancangan, proses undang-undang keseluruhannya adalah semata-mata "sandiwara".

Di samping itu, Kerajaan Negeri perlu mengisytiharkan semula tanah itu sebagai "tanah bukit" di bawah Akta Pemuliharaan Tanah 1960. Ini akan menjadi satu precedent yang baik untuk menghalang pemilik tanah lain dari melanggar undang-undang.


S.M. MOHAMED IDRIS
Presiden

Join Donate