Hentikan Segera Eksport Pasir : Pemeliharaan Alam Semulajadi Malaysia Juga Penting

Kenyataan Akhbar                                 1 November 2017

Sahabat Alam Malaysia (SAM) merasa amat terkejut membaca berita terbaharu Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 29 Oktober yang melaporkan ketibaan konsainmen pertama pasir Malaysia di Pelabuhan Thoothukudi di negeri Tamil Nadu, India.

Eksport pasir itu diteruskan walaupun terdapat bantahan dan kritikan daripada beberapa NGO di Malaysia, apabila isu itu didedahkan kepada orang ramai beberapa bulan yang lalu. SAM telah menulis kepada beberapa Kementerian untuk mendapatkan penjelasan berhubung eksport pasir dari Malaysia, tetapi masih belum menerima maklum balas berhubung perkara itu.

Ini merupakan satu episod sedih bagi negara ini memandangkan sumber asli Malaysia sendiri dikorbankan oleh segelintir peniaga tempatan yang tamak. Pengikut isu ini akan menyedari bahawa alasan di sebalik keputusan India untuk mengimport pasir Malaysia adalah sebahagian besarnya disebabkan keputusan negara itu untuk melindungi rizab pasir asli mereka sendiri daripada pupus.

Aktiviti perlombongan pasir sungai di Malaysia telah menimbulkan pelbagai masalah serius seperti hakisan tebing sungai, kemerosotan dasar sungai, pecerobohan zon penampan sungai dan kemerosotan kualiti air. Masalah alam sekitar juga turut berlaku apabila kadar pengeluaran pasir, batu kerikil dan bahan lain melebihi kadar di mana proses semula jadi menjana bahan ini.

Kegagalan untuk menangani masalah perlombongan pasir termasuk eksploitasi berlebihan menyebabkan kesan serius yang memusnahkan alam sekitar dan sumber asli Malaysia.

Sehubungan itu, kami menggesa Kerajaan Malaysia terutama sekali Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya meneliti perkara ini dengan serius dan menyelesaikannya dengan segera.

Berhubung perkara ini, SAM menyokong pemerhatian awal oleh YB Menteri, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi mengenai bagaimana urusan antara peniaga Malaysia dan Kerajaan India berhubung eksport pasir adalah tidak telus. Dalam konteks ini, SAM menggesa NRE meneliti semua urusan dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

Perlu diingatkan bahawa sumber asli Malaysia sendiri termasuklah pasir pada masa kini dalam keadaan terancam. Oleh itu, keputusan membenarkan pasir Malaysia dieksport ke India untuk menjaga rizab pasir negara tersebut bukanlah satu tindakan yang bijak.

 

S. M. Mohamed Idris         

Presiden 

Join Donate