Hutan Simpan Piah perlu diurus secara seimbang dan dikekalkan keluasan sedia ada

Hutan Piah

SURAT KEPADA PENGARANG                                                                                            01 APRIL 2016

Merujuk kepada laporan khas yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu pada 28 Mac 2016 bertajuk ‘Hutan Simpan Kekal Piah dirobek’, Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendapati ada kebenarannya berdasarkan kajian kes yang dilakukan sebelum ini. 

Walau bagaimana pun, SAM ingin berkongsi fakta supaya pembaca tidak keliru berhubung maksud dan tafsiran Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan Hutan Simpan. 

HSK ialah suatu status kawasan tanah yang telah diwartakan mengikut Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara, 1984 (Akta 313).  Mengikut Akta yang sama, tafsiran “Hutan Simpanan Kekal” ertinya mana-mana tanah yang dijadikan atau disifatkan telah dijadikan suatu Hutan Simpanan Kekal di bawah Akta ini. Hutan Simpan Piah (HS Piah) pula ialah nama rasmi salah satu HSK yang telah ditubuhkan.    

Laporan khas tersebut juga menyatakan HS Piah telah diwarta penubuhannya pada 2013 seluas 5,018 hektar sedangkan mengikut rekod, hutan simpan tersebut telah diwarta penubuhannya sejak 29 Januari 1915 (No Warta: 164). 

Mengikut kajian kes dan dokumentasi SAM, tidak terdapat penambahan keluasan HS Piah (keluasan asal lebih-kurang 79,596 hektar) sebagaimana yang dinyatakan tetapi sebaliknya didapati hutan simpan tersebut telah dimansuhkan sebahagian dari semasa ke semasa. 

Keluasan keseluruhan HS Piah pada 31 Disember 2003 ialah 76,158 hektar dan semakin berkurangan iaitu pada 31 Disember 2013 ialah 74,233.81 hektar. Kini keluasan HS Piah semakin terus berkurangan kerana terdapat sebahagian lagi telah dimansuhkan iaitu 994 hektar pada 20 Mac 2014 dan 1,150.55 hektar pada 31 Julai 2014. 

Daripada keluasan HS Piah seluas kira-kira 72,089.26 hektar hanya 17,107.00 hektar sahaja diwartakan kelas kegunaan sebagai Hutan Tadahan Air mengikut Seksyen 10(1)(e), Akta Perhutanan Negara, 1984 (Akta 313) manakala selebihnya iaitu seluas kira-kira 54,982.26 hektar adalah sebagai Hutan Pengeluaran Kayu Dibawah Perolehan Berkekalan mengikut Seksyen 10(1)(a), Akta yang sama. 

Sebelum ini HS Piah pernah juga diwartakan kelas kegunaan sebagai Hutan Simpanan Dara (VJR) mengikut Seksyen 10(1)(g), Akta Perhutanan Negara, 1984 (Akta 313) tetapi telah dimansuhkan.   

Malah daripada keluasan kira-kira 54,982.26 hektar yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran Kayu Dibawah Perolehan Berkekalan terdapat juga sebahagian kawasan yang sedang / hendak dieksploitasi untuk tujuan ladang monokultur atau apa yang dikenali sebagai ladang hutan dan untuk tujuan kuari.     

Oleh kerana HS Piah terletak di jajaran kompleks hutan ‘Central Forest Spine’ Banjaran Titiwangsa, ia merupakan salah satu koridor hidupan liar utama di Semenanjung Malaysia.  

HS Piah bersambung dengan HS Air Cepam dan HS Temenggor di sebelah utara dan bersambung dengan HS Korbu di sebelah selatan manakala di sebelah timur bersambung dengan HS Perias dalam negeri Kelantan. 

Sebelum ini HS Piah juga bersambung dengan Rizab Hidupan Liar Chior (Rizab Hidupan Liar yang pertama ditubuhkan di Malaysia) di sebelah selatan tetapi Rizab Hidupan Liar tersebut telah dimansuhkan keseluruhan menyebabkan hidupan liar yang masih terdapat di situ ‘berhijrah’ ke habitat berhampiran terutama HS Piah. 

Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan, HS Piah pula dieksploitasi dengan kegiatan pembalakan yang tidak terkawal dan kegiatan pemusnahan hutan apabila sebahagian hutan simpan tersebut dimansuhkan (fragmentasi) dan untuk dijadikan ladang monokultur. 

Apabila sesuatu kawasan hutan simpan dimansuhkan sebagai HSK dan sesuatu kawasan hutan simpan hendak dijadikan ladang monokultur, litupan hutan asal akan diusahahasil (dibalak) secara tebang habis. 

Kegiatan pengusahahasilan secara tebang habis tidak tertakluk kepada ‘sustainable forest management’, Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan pensijilan ‘Malaysia Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management’ (MC&I). 

Semua pihak harus memahami bahawa apabila sesuatu kawasan hutan terutama yang dilindungi dan mempunyai ‘security of tenure’ dieksploitasi dengan kegiatan pembalakan yang tidak terkawal dan kegiatan pemusnahan hutan, ia akan menjejaskan sumber dan perkhidmatan hutan. 

Oleh itu Pihak Berkuasa yang berkenaan perlu mengurus HS Piah secara seimbang dan dikekalkan keluasan sedia-ada supaya semua pihak akan memperolehi manfaat dan perkhidmatan hutan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden

 

Join Donate