Industri didahulukan atau rakyat didahulukan? – Kerajaan Malaysia menindas pekebun-pekebun kecil sawit demi menjaga kepentingan pihak industry

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                    08 OKTOBER 2014

Ribuan pekebun-pekebun kecil kelapa sawit di Sarawak telah terjejas oleh arahan Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (atau dalam bahasa Inggeris, MPOB) yang melarang peniaga buah sawit dari membeli buah kelapa sawit (BKS) yang asal-usulnya ‘dicurigai’. Arahan tersebut berkuatkuasa sejak 1hb Julai, 2014.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah mendapat tahu bahawa sekurang-kurangnya di kawasan Baram, Bahagian Miri, Sarawak, arahan tersebut telah mengakibatkan pembatalan dan penggantungan lesen perniagaan buah sawit susulan daripada tindakan penguatkuasaan oleh pihak MPOB. 

Peniaga sawit yang menjadi orang tengah di antara pekebun-pekebun kecil yang kebanyakannya terdir daripada masyarakat Orang Asal dan kilang sawit yang dimiliki oleh syarikat perladangan besar, telahpun menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan (atau supply chain) pembangunaun penanaman sawit di Sarawak. 

Seperti yang dimaklumi, bagi kawasan Baram, BKS yang asal-usulnya ‘dicurigai’ melibatkan buah sawit yang kononnya dicuri dari ladang Sg Lelak, Loagan Bunut dan Bukit Limau yang dimiliki oleh dua buah syarikat perladangan sawit gergasi – Boustead dan IOI. 

Ladang-ladang tersebut masih terlibat dalam konflik tanah dengan masyarakat tempatan yang telahpun membuat tuntutan hak tanah adat ke atas kawasan yang ditanam berikutan kegagalan pembayaran dividen atau pembayaran dividen yang tidak memuaskan buat bertahun-tahun yang lepas dan yang telahpun dijanjikan dalam skim usaha bersama yang disarankan oleh kerajaan. 

Arahan MPOB ini juga merupakan keputusan yang diambil oleh Menteri Industri Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas selepas satu sesi dialog dengan industri kelapa sawit pada 9hb Jun, 2014. 

Selain daripada melarang peniaga daripada membeli BKS dari ‘hotspots’ konflik tanah, dalam notisnya kepada para peniaga BKS, MPOB juga menetapkan rujukan had maksima hasil daripada pekebun kecil iaitu 2 tan bagi 1 hektar sebulan sahaja. Maka, jualan hasil yang melebihi ketetapan tersebut dianggap sebagai hasil yang asal-usulnya ‘dicurigai’. 

Notis itu juga menyatakan bahawa peniaga-peniaga yang tidak mengikut arahan tersebut akan dianggap bersubahat dengan pembekal haram dan pihak MPOB tidak akan teragak-agak mengambil tindakan keras termasuklah penggantungan lesen perniagaan. 

Pekebun-pekebun kecil diwajibkan untuk menunjukkan sijil dari MPOB ketika menjual hasil mereka kepada peniaga yang memegang lesen MPOB. Walau bagaimanapun, mengikut makluman, kebanyakan sijil ini tidak dikemaskini apabila pekebun-pekebun kecil memperluaskan kawasan tanaman mereka. Masalah ini terjadi kerana kelemahan pentadbiran MPOB sendiri. 

Penutupan sepenuh dan sementara (ada yang sampai 3 bulan) ‘ramp’ (merujuk kepada kemudahan yang disediakan oleh peniaga BKS) tidak disedari dan telah mengejutkan ramai pekebun kecil. 

Tindakan mesra-syarikat yang diambil oleh MPOB untuk mendenda segelintir pekebun-pekebun kecil secara langsungnya menjejaskan mata pencarian kehidupan ribuan pekebun kecil yang tidak bersalah. Ramai masyarakat Orang Asal telah berkecimpung dalam aktiviti pembangunan tanah tersebut yang digalakkan oleh agensi-agensi kerajaan dan juga kerajaan negeri dan kerajaan pusat untuk menaikkan taraf hidup mereka. 

Berikutan dari tindakan MPOB ini, mereka terpaksa berjalan jauh untuk menjual hasil mereka dan ini akan meningkatkan kos pengeluaran dan sekaligus harapan untuk memperbaiki taraf hidup mereka. Ramai juga meminjam dari bank untuk membeli kenderaan pacu empat roda untuk menyenangkan penghantaran hasil ke kilang dan mereka akan menghadapi kemungkinan terjebak dalam hutang sekiranya mereka tidak mampu membayar ansuran pinjaman. 

Tempoh penguatkuasaan arahan tersebut dan rancangan kementerian seterusnya untuk menyelesaikan konflik tanah adat bukan sahaja di kawasan Baram tetapi juga di kawasan-kawasan lain di negeri Sarawak adalah tidak jelas dan tidak diketahui. 

Tindakan MPOB yang tidak berprihatin tersebut telah mendedahkan hujah kerajaan mempertahankan dasar pemusnahan hutan dan pembangunan penanaman sawit besar-besaran demi pembanterasan kemiskinan adalah tidak benar sama sekali. Pendirian Majlis Kelapa Sawit Malaysia (atau dalam bahasa Inggeris, MPOC) bahawa pembangunan penanaman sawit adalah demi kesejahteraan pekebun-pekebun kecil, kini telahpun didedahkan sebagai taktik perhubungan awam semata-mata. 

Walau bagaimanapun, kami menyeru kerajaan supaya memberikan perhatian serta-merta terhadap konflik tanah adat yang telah berlarutan lama dan menyeru pihak industri supaya menjalankan aktiviti perniagaan mereka secara beretika dengan menghormati tuntutan hak tanah adat. 

Segala penyelesaian konflik tanah adat mesti menghormati keputusan-keputusan mahkamah yang mengiktirafkan bahawa kawasan tanah adat adalah melebihi kawasan yang mengikut tafsiran kerajaan mengikut undang-undang tanah yang tidak adil. 

 

S M Mohamed Idris

Presiden

Join Donate