Jeti nelayan Sungai Tengah, Cangkat perlu dinaik taraf dan di tambah baik

lalauan kurang baik

Laluan pendaratan ikan yang kurang sempurna.            Gambar : SAM

Kenyataan Akbar                                        26 Oktober 2016

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan pihak-pihak lain yang berkenaan mengambil inisiatif bagi mengatasi masalah kemudahan asas jeti nelayan Sungai Tengah di Changkat daerah Seberang Perai Selatan yang perlu dinaik taraf untuk keselesaan serta keselamatan nelayan di sini.

Masalah yang dihadapi oleh nelayan-nelayan pantai di kawasan ini telah berlaku sejak beberapa tahun lalu namun sehingga kini dipercayai masih tiada sebarang tindakan yang berkesan diambil oleh pihak-pihak bertanggungjawab walaupun perkara ini telah dikemukakan beberapa kali oleh nelayan-nelayan terbabit. 

Tinjauan yang dibuat SAM baru-baru ini mendapati bahawa selain ketiadaan kemudahan asas lain seperti bekalan elektrik dan bekalan air, laluan pejalan kaki untuk nelayan mendaratkan hasil tangkapan berada dalam keadaan uzur dan perlu ditambah baik lagi. Di samping itu, kawasan lapang di hadapan jeti berkenaan serta jalan masuk ke jeti ini juga perlu diturapkan.

jeti nelayanJeti yang perlu ditambah baik. Gambar : SAM

Menurut beberapa orang nelayan di sini, jeti nelayan Sungai Tengah, Changkat kini menjadi tumpuan bagi kaki-kaki pancing untuk menyewa bot serta memarkir kenderaan mereka. Secara tidak langsung jeti ini menjadi terkenal bukan sahaja di kalangan kaki-kaki pancing dalam Pulau Pinang bahkan turut dikunjungi oleh pemancing dari negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Dianggarkan bahawa jumlah bot nelayan yang ada di jeti ini melebihi 50 buah kesemuanya.

Nelayan-nelayan mendakwa bahawa mereka telah beberapa kali bertemu dengan pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan untuk mendapatkan bantuan peruntukan menaiktaraf jeti tersebut tetapi tiada sebarang petanda ianya akan direalisasikan.

Sehubungan itu, SAM berharap agar pihak-pihak berkenaan tampil membantu dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini.

SAM juga mencadangkan agar jeti berkenaan dinaik taraf walaupun dengan peruntukan yang sedikit agar nelayan-nelayan terbabit tidak menghadapi kesukaran untuk menjalankan aktiviti harian sekali gus meredakan kebimbangan serta kesulitan yang dihadapi mereka selama ini.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate