Kegiatan melombong bijih timah di persisiran laut jejas pendapatan nelayan

Mendapan bijih timahMendapan di persisiran pantai didakwa berlaku kerana operasi lombong

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                             11 MEI 2015

Lebih kurang 200 nelayan pantai di Sungai Batu, dekat Pantai Remis daerah Manjung, Perak terjejas sumber pendapatan harian akibat kegiatan carigali dan perlombongan bijih timah oleh sebuah syarikat di kawasan tangkapan mereka.

Masalah yang berlaku dan dihadapi oleh nelayan-nelayan di sini sejak operasi lombong  bijih timah bermula bulan lalu telah menyebabkan hasil tangkapan ikan serta udang berkurangan dan dikhuatiri akan lebih merosot lagi. 

Dalam tinjauan yang dibuat oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) baru-baru ini didapati operasi lombong bijih timah disini dilakukan pada jarak 500 meter dari pantai menyebabkan zon tangkapan nelayan pantai mengalami pencemaran laut. 

Nelayan melaporkan bahawa air laut di kawasan tersebut berkelodak, kotor dan busuk. Perairan berhampiran pantai di sini juga menjadi cetek akibat mendapan sisa lumpur. 

Seorang nelayan yang terlibat Mohd Norsham Bin Non, 26, berkata selain masalah pencemaran laut yang teruk berlaku akibat kegiatan itu, dibimbangkan batu karang di kawasan berhampiran yang menjadi tempat hidupan laut membiak akan turut musnah. 

Beliau bimbang dan percaya, jika kegiatan ini berterusan sumber laut seperti udang akan pupus kerana kawasan benih udang diancam dan sekali gus menjejaskan mata pencarian nelayan-nelayan di sini dan kehidupan keluarga mereka. 

Mohd Norsham berharap agar pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini sebelum pencemaran laut yang berlaku sekarang merebak dan menjadi lebih buruk. 

SAM amat kesal dengan masalah yang berlaku di sini dan mempersoalkan bagaimana kegiatan tersebut dibenarkan beroperasi yang di kawasan yang boleh mencetuskan ancaman ke atas alam sekitar, sumber perikanan dan kehidupan penduduk tempatan. 

Pihak Jabatan Alam Sekitar yang telah meluluskan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling bagi cadangan projek lombong timah di Pantai Tanjung Batu, Mukim Pengkalan Baharu, Daerah Manjung ini pada 17 Disember 2013 ini seharusnya menjalankan pemantauan untuk memastikan penggerak projek mematuhi syarat yang dikenakan. 

Sehubungan itu SAM menggesa siasatan segera dilakukan oleh pihak berwajib dan jika masalah ini gagal diatasi kegiatan itu wajar dihentikan segera. 

SAM juga berharap supaya nelayan-nelayan yang terjejas sumber pendapatan akibat kegiatan tersebut dibayar ganti rugi oleh syarikat terbabit setimpal dengan jumlah kemerosotan hasil tangkapan yang dialami oleh mereka. 

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden

operasi bijih timah

Operasi melombong bijih timah di perairan Tanjung Batu, Perak

Join Donate