Kepimpinan komuniti dan bukan korporat untuk menangani perubahan iklim

CJE Day of Action - Marudi RAsAnggota-anggota Persatuan Penduduk dari sekitar Marudi, Sarawak dengan permintaan mereka

Kenyataan Akhbar                                              13 Oktober 2017

Pada Oktober 13 dan 14, para anggota Friends of the Earth International (FOEI) di seluruh dunia merentasi enam buah benua akan melakukan pelbagai aksi untuk memperingatkan kita semua tentang keadaan kecemasan sedunia yang telah timbul akibat dari perubahan iklim serta menentang penggunaan tenaga yang mencemarkan serta pelbagai penyelesaian yang palsu di dalam menangani krisis perubahan iklim. FOEI berhasrat untuk menekankan betapa pentingnya transformasi sistem pembangunan tenaga kita diterajui oleh kepimpinan komuniti. Aksi-aksi ini merupakan sebahagian dari Reclaim Power Campaign 2017. Perubahan iklim dan krisis tenaga sedunia hari ini mengancam nyawa dan kehidupan berbillion penduduk dunia. FOEI dan para anggotanya percaya bahawa pemacu kesemua isu ini adalah model pembangunan ekonomi dan pembangunan yang berasaskan bahan api fossil dan pelbagai sumber tenaga yang mencemarkan serta pemusatan kuasa tentang pengurusan sumber-sumber dan perkhidmatan bekalan tenaga di tangan beberapa pihak yang sudah lama dilimpahi kekayaan.

Sebagai anggota persekutuan FOEI, Sahabat Alam Malaysia (SAM) juga berhasrat untuk menarik perhatian semua tentang kenyataan dunia hari ini. Untuk menangani krisis iklim, kita perlu melakukan perubahan yang berteraskan keadilan, untuk menggantikan sistem ekonomi yang berlandaskan bahan api fosil, empangan-empangan besar dan pelbagai amalan ekonomi yang tidak lestari dengan alternatif yang didasari kepimpinan komuniti dan demokratik.

Sebagai contoh, empangan-empangan besar telah dibuktikan sebagai satu sumber tenaga yang tidak lestari. Mereka bukan sahaja memusnahkan sejumah besar ladang-ladang produktif yang dimiliki dan dikerjakan oleh masyarakat orang asal tetapi juga hutan hujan tropika kita yang mengandungi kepelbagaian hayat yang tidak ternilai. Hutan hujan tropika juga berfungsi sebagai simpanan sinki karbon yang besar yang sangat penting untuk menghalang suhu dunia dari terus meningkat. Namun begitu, Malaysia masih terus membuat pilihan yang tidak masuk akal, bertekad malah untuk membina lebih banyak empangan besar.

Orang asal di seluruh dunia adalah masyarakat yang telah menggunakan secara lestari dan melindungi hutan-hutan dan sumber-sumber alam lain sejak zaman dahulu kala lagi. Dasar-dasar ekonomi dan pembangunan yang diterajui pihak korporat hari ini yang membahayakan orang asal akhirnya akan membahayakan dunia dan semua kehidupan. Tatkala berhadapan dengan perubahan iklim, kita wajib sedar bahawa kesia-siaan model ekonomi dan pembangunan kita hari ini yang bertekad menggalakkan lagi penggunaan tenaga yang mencemarkan, termasuklah empangan-empangan besar dan sistem pertanian yang diterajui sektor korporat. Sepatutnya, kita sudah bersedia untuk menggalakkan cara-cara baru untuk maju ke hadapan, yang menghormati komuniti lebih dari syarikat-syarikat besar.

Di Sarawak, SAM kini sedang bekerja dengan sembilan komuniti orang asal di dalam pengurusan perhutanan dan pertanian yang lestari. Kerja-kerja perhutanan semula ini telah dirintis oleh Persatuan Penduduk Uma Bawang di Baram, Bahagian Miri, semenjak 1992 lagi, setelah wilayah tanah adat masyarakat Kayan tersebut dibalak pada tahun 1980an. Aktiviti agroekologi ini juga turut membantu untuk melindungi tanah dan hutan komuniti dari dicerobohi oleh syarikat-syarikat besar. Sementara itu banyak pertubuhan lain juga kini sedang membantu masyarakat orang asal untuk mencapai sumber-sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui, seperti empangan mini hidro atau solar. Keadilan sememangnya menuntut untuk keperluan komuniti didahulukan dari kemahuan korporat.

Oleh itu kami ingin menggesa para pembuat dasar dan anggota masyarakat yang memiliki kesedaran yang sewajarnya, untuk mengkaji alternatif-alternatif seperti ini yang mengutamakan kelestarian tatkala kita di ambang perubahan iklim. Pembangunan tenaga yang mencemarkan dan amalan-amalan lazim sektor korporat yang tidak lestari sebenarnya adalah akar kepada segala ketidakadilan yang akan dizahirkan oleh perubahan iklim. Kita tidak lagi mampu untuk terus ikut serta di dalam sistem ekonomi yang mana syarikat-syarikat besar dibenarkan untuk menikmati keuntungan yang melampau sedangkan mereka telah menyebabkan penderitaan terhadap masyarakat dan kemusnahan kekal terhadap sumber-sumber mereka. Intipatinya, cuma kesedaran baru tentang keadilan sahaja yang dapat menyelamatkan dunia dari masa hadapan yang sangat sukar.

Untuk masyarakat orang asal kita, negara ini tentunya sangat terhutang budi kepada mereka yang teguh mempertahankan masyarakat mereka dari amalan-amalan lazim sektor korporat yang telah banyak membuat kerosakan. Biarlah komuniti-komuniti ini, dan bukannya syarikat-syarikat besar, yang memimpin kita ke arah masa hadapan yang lebih selamat dan lestari.

 

 

S.M. Mohamed Idris

Presiden

Join Donate