Kepudaran Pulau Pinang semakin menular

Air Itam Hills

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                       20 APRIL 2015

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat kecewa dengan Jawatankuasa Perancangan Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri kerana meluluskan tukarguna  tanah bukit yang diwartakan untuk zon perumahan. Tambahan daripada itu, Kerajaan Negeri telah mengumumkan beberapa projek besar. Kami berpendapat bahawa Kerajaan Negeri tidak menghormati kemurnian bukit bukau dan sumber alam Pulau Pinang dengan mendesak pembangunan projek mega di sini.

Bukit Relau atau lebih dikenali sebagai "Botak Hill" kerana kebotakan puncak bukit tersebut bukanlah satu-satunya bukit yang diwartakan yang kini ditukar untuk pembangunan perumahan. Antara lain, terdapat kes-kes penukargunaan tanah bukit di Sungai Ara, Paya Terubong, Sungai Batu berhampiran Bayan Lepas dan banjaran bukit di Bukit Gambier yang turut terjejas. Baru-baru ini seorang ADUN mengkritik kerajaan negeri kerana meluluskan projek perumahan 51-tingkat pada cerun bukit berhampiran Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di Tanjung Bungah.

CAP dan SAM telah menyeru banyak kali agar pembangunan dihadkan di zon bukit kerana ekosistem di kawasan bukit amat rapuh atau fragile dan ianya memainkan peranan penting dalam mengekalkan kehidupan. Tanah tinggi adalah kawasan alam yang sensitif dan memainkan peranan penting sebagai kawasan tadahan air. Ianya terdedah kepada hakisan tanah disebabkan oleh cerun curam dan hujan lebat yang kita alami akhir-akhir ini akan meningkatkan kejadian hakisan tanah dan banjir. 

Malangnya, kerajaan Pulau Pinang mencadangkan lebih banyak projek infrastruktur baru seperti cadangan projek Light Rail Transit (LRT), lebuh raya baru, terowong bawah laut dan cadangan tidak munasabah terbaru ialah projek kereta kabel 3km dari tanah besar ke pulau. Sekarang Ketua Menteri menarik balik kenyataannya dan mengumumkan bahawa Sky Cab yang dicadangkan tersebut adalah produk pelancongan, bukannya sistem pengangkutan awam. Adakah projek-projek mahal ini perlu dan adakah ia berdaya maju dari segi ekonomi? 

Kerajaan Negeri seolah-olah hidup dalam alam mimpi berfikir bahawa projek-projek mega itu berdaya maju dilaksanakan untuk Pulau Pinang sedangkan sehingga kini tiada kajian daya tampungan di pulau ini telah dilaporkan. Tidakkah sistem bas transit rapid dengan laluan bas khusus dan memberi kepentingan kepada pejalan kaki dan penunggang basikal berupaya menggerakkan orang?

Adakah kerajaan memikirkan kesan kumulatif ke atas alam sekitar dan kesan sosio-ekonomi akibat perpindahan dengan paksa penduduk yang tinggal di sekitar kawasan yang terlibat? Beberapa projek penambakan seperti Seri Tanjung Pinang 2 di Tanjung Tokong dan sepanjang pantai tenggara Pulau Pinang juga akan mengancam mata pencarian nelayan pantai akibat kehilangan kawasan menangkap ikan.

Dalam keazamannya mengejar pembangunan ikonik, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah gagal untuk memelihara warisan semula jadi pulau ini. Kami menyeru kepada Kerajaan Negeri untuk menghentikan penukaran tanah bukit yang diwartakan untuk tujuan pembangunan yang lain. Kerajaan Pulau Pinang perlu bersaing untuk menjadi "Bandaraya Pulau Paling Hijau di Bumi" dan bukannya dikenali sebagai "Pulau Konkrit".

 

 

S M Mohamed Idris

Presiden

CAP & SAM

 

Join Donate