Kerajaan-kerajaan negeri digesa berwaspada dengan lamaran perjanjian sektor perhutanan berkaitan dengan perubahan iklim

Surat kepada Pengarang                         24 Februari 2017

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menerima baik penjelasan daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bahawa perjanjian ‘carbon-offset’ yang ditandatangani oleh kerajaan negeri Kelantan dengan sebuah syarikat swasta tidak ada sebarang kaitan dengan mana-mana mekanisma Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menerangkan bahawa mekanisma PBB yang berkaitan dengan sektor perhutanan (yang sengaja dirujuki oleh pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian tersebut) tidak melibatkan mekanisma berdasarkan pasaran seperti yang tersirat dalam perniagaan kredit karbon. 

Kami berharap kenyataan media Kementerian yang dilaporkan oleh BERNAMA bertarikh 16 Februari akan mengatasi kekeliruan yang terkandung dalam laporan-laporan media  tempoh hari berkenaan tandatangan perjanjian yang telah salah nyatakan bahawa perjanjian tersebut adalah berkaitan dengan mekanisma pengurangan pelepasan gas rumah hijau dalam sektor perhutanan di bawah naungan Konvensyen Kerangka Perubahan Iklim PBB, ataupun dalam bahasa Inggeris - United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) - yang mana Malaysia adalah salah sebuah Negara ahli. 

Buat masa ini, di bawah UNFCCC, terdapat sebuah mekanisma yang dikenali sebagai Pengurangan Pelepasan Gas Rumah hijau daripada Penebangan Hutan dan Pensusutan Hutan, serta peranan pemuliharaan, pengurusan hutan secara mampan dan peningkatan stok karbon hutan di Negara-negara membangun atau dalam bahasa Inggeris -  Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation, and the Role of Conservation, Sustainable Management of Forests and Enhancement of Forest Carbon Stocks in Developing Countries (REDD-plus) – yang tidak melibatkan sebarang perniagaan kredit karbon atau menggunakan pendekatan pasaran. 

Menteri telahpun mengesahkan bahawa Malaysia berhasrat melaksanakan REDD-plus di peringkat kebangsaan dan sedang berusaha memperolehi ‘results-based payments’ daripada Green Climate Fund yang akan memanfaatkan semua negeri bagi pemuliharaan dan pengurusan hutan secara mampan. Sumbangan kewangan tersebut adalah merupakan pembiayaan dalam bentuk ‘geran’ (bukan pinjaman) kepada Malaysia. 

Keghairahan terhadap perniagaan karbon dan ‘carbon-offsets’ dalam sektor perhutanan menerusi mekanisma pasaran harus dibanteras dan dihentikan. Sekiranya tidak, Malaysia akan kehilangan kredibiliti dalam usahanya untuk memperolehi ‘results-based payment’ bagi perlaksanaan REDD-plus. 

Kami juga ambil maklum nada amaran Menteri yang menyatakan bahawa beliau berharap rancangan REDD-plus kebangsaan ‘tidak akan dijejaskan oleh aktiviti-aktiviti yang tidak beretika daripada individu-individu yang tidak bertanggungjawab’. 

SAM telahpun menjalankan siasatan awal terhadap syarikat berkenaan berdasarkan pendaftarannya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan juga menerusi maklumat di laman sesawang serta alamat perniagaannya. 

Penyiasatan awal kami telah menimbulkan banyak tanda-tanya terhadap operasi syarikat tersebut dan ini adalah amat merunsingkan. 

Oleh itu, SAM menyeru Kementerian dan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan menyiasat dan mengesahkan operasi syarikat tersebut sebelum lebih banyak lagi kerajaan negeri terjebak dalam perjanjian sebegini. 

Kerajaan-kerajaan negeri adalah diseru berwaspada terhadap sebarang perjanjian yang kononnya di bawah naungan PBB dan harus menjalankan pemeriksaan teliti dengan mendapatkan maklumat yang tepat daripada pihak Kementerian kerana Kementerian adalah ‘focal point’ sebarang maklumat dan rundingan berkaitan dengan UNFCCC. 

 

S.M.Mohamed Idris

Presiden

Join Donate