Kereta kabel akan memusnahkan persekitaran Bukit Bendera dan Taman Botani Pulau Pinang

Pg Map NSTGambar Fail: NST

Kenyataan Akhbar                                  02 Februari 2017

Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat bimbang dengan cadangan sistem kereta kabel di Pulau Pinang dan dengan ini membantah cadangan projek ini kerana ia akan membawa kesan yang amat buruk serta mengakibatkan perubahan drastik kepada suasana bukit dan sekitar stesen bawah.

Dengan demikian SAM menggesa kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk membatalkan cadangan ini.

Pelan kereta kabel yang dicadangkan ini dianggarkan bernilai RM325 juta dan akan terdiri daripada jalinan yang menghubungkan Taman Botani Pulau Pinang dengan puncak Bukit Bendera, dan satu lagi yang menghubungkan bahagian atas bukit ke Teluk Bahang di bahagian barat laut Pulau Pinang.

Kami tidak bersetuju dengan kenyataan Kementerian Pelancongan yang menyokong cadangan kerajaan negeri Pulau Pinang yang menyatakan bahawa pulangan pelaburan  projek itu ada justifikasi kerana terdapat keperluan untuk membawa masuk lebih ramai pelancong.

Bilangan semasa pelawat ke Bukit Bendera telah melebihi kapasiti tampungnya. Ia dilaporkan bahawa pada tahun 2008, lebih daripada 200,000 orang melawat Bukit Bendera tetapi kini, jumlah itu telah meningkat kepada 1.6 juta. 

Pemilik projek kereta kabel tersebut pasti mempunyai kepentingan komersial dan akan mengutamakan keuntungan. Oleh itu, pemaju akan cuba untuk memaksimumkan bilangan orang yang akan menggunakan kereta kabel untuk meraih keuntungan daripada pelaburannya. Logik yang wujud untuk memaksimumkan bilangan orang yang akan menggunakan kereta kabel akan membawa kepada terlalu ramai orang di Bukit Bendera, sekali gus melebihi kapasiti tampungnya dan dengan itu menyumbang kepada pencemaran alam sekitar yang teruk. 

Untuk menambah masalah lagi, dalam usaha untuk menarik lebih ramai orang untuk menggunakan kereta kabel, akan ada peningkatan tekanan daripada pemaju untuk membangunkan lebih banyak projek di Bukit Bendera. Terdapat had kepada jumlah pembangunan dan bilangan pelawat yang Bukit Bendera boleh menampung. 

Peningkatan besar dalam bilangan pengunjung bukan sahaja akan merosakkan alam sekitar tetapi juga mengubah suasananya. Kedamaiankesunyian dan ketenangan akan memberi laluan kepada suasana yang sangat dikomersialkan. 

Bukit Bendera adalah kawasan tadahan air yang sangat penting bagi negeri Pulau PInang dan sebahagian daripada hutan di sini dilindungi sebagai hutan simpan. Hampir separuh daripada Bukit Bendera atau 210.07 hektar diwartakan sebagai kawasan tadahan air (Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera, 2013). Dalam sesuatu persekitaran bukit, sebarang percubaan untuk mengganggu keseimbangan ekologi yang sensitif adalah satu kesilapan dan teruk akibatnya dalam jangka masa panjang. 

Jika kekangan akses yang terhad membantu mengekalkan fungsi Bukit Bendera sebagai tadahan air dan ciri-ciri khas yang lain Bukit ini, maka kekangan tersebut tidak mesti dilihat dengan pandangan yang negatif tetapi sebagai mempunyai fungsi yang positif. 

Cadangan kereta kabel tersebut juga akan menyebabkan kesan buruk kepada alam sekitar kerana ia melibatkan pendirian pilon besar dan pembinaan menara dan stesen yang akan memusnahkan flora dan menjejaskan hutan, bukit dan lembah. Kita juga perlu menimbangkan aspek kesesakan lalu lintas dan kemudahan tempat letak kenderaan di stesen bawah. 

Pada masa kini Taman Botani Pulau Pinang sudah sesak serta keamanan dan keindahan Teluk Bahang akan terjejas juga. 

Taman Botani Pulau Pinang adalah suatu tempat yang unik dan berharga, yang mewakili satu khazanah yang sangat popular dan bernilai di Pulau Pinang dan untuk rakyat Pulau Pinang. Ia telah digambarkan lama dahulu sebagai "tempat yang paling indah di Tanah Melayu." Ia adalah satu-satunya atau salah satu daripada Taman Botani yang terletak di kaki bukit hutan tropika primer, yang tertua di dunia, dan merupakan persekitaran yang paling semula jadi. Beribu-ribu orang melawat Taman Botani setiap hari untuk menikmati alam semula jadi, untuk senaman serta untuk berinteraksi dengan keluarga dan masyarakat. 

Dengan menempatkan stesen bawah di Taman Botani atau kawasan sekitarnya, kereta kabel akan memusnahkan suasana yang tenang, persekitaran semula jadi dan keindahan Taman Botani kerana beribu-ribu orang akan mengunjung ke sana untuk menggunakan kereta kabel dan akan muncul banyak aktiviti komersial, gerai makanan dan kedai-kedai di samping kawasan yang besar diperlukan untuk stesen kereta kabel dan pentadbirannya. 

Oleh itu projek kereta kabel ini akan memusnahkan bukan sahaja alam semula jadi Bukit Bendera serta Taman Botani, dua komponen yang paling penting dalam warisan Pulau Pinang yang memberikannya nama Pearl of the Orient”. 

Pembangunan pelancongan di Bukit Bendera adalah satu pembangunan yang tidak selaras untuk santuari semula jadi yang memerlukan keamanan dan ketenangan, bukannya pengkomersialan, orang ramai dan wang pelancongBukit Bendera pada masa kini sudah sesak dengan pelancong. 

Taman Botani juga adalah bernilai dan kawasan sensitif yang perlu dipelihara dalam keadaan semula jadinya. Kita tidak memerlukan atau menghendaki kereta kabel yang akan membawa banyak impak negatif. 

Keindahan semula jadi dan khazanah alam Pulau Pinang perlu dipelihara dan diberi keutamaan. Para pelancong yang pihak berkuasa cuba untuk tarik sebaliknya akan mual melihat kerosakan yang disebabkan oleh pembangunan yang melampau. 

Oleh itu, kami mengulangi gesaan kami kepada kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk membatalkan cadangan kereta kabel ini.  

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate