Kerja-kerja tanah bersebelahan Gambier Heights, Pulau Pinang: Adakah ini lagi satu aktiviti tanpa izin?

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                            12 MAC 2015

Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah meninjau  aktiviti kerja tanah bersebelahan Apartment Gambier Heights, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang setelah menerima aduan dari individu yang prihatin. Berdasarkan pemerhatian, kerja-kerja tanah sedang giat berjalan tanpa sebarang papan tanda maklumat berkenaan dengan kerja di kawasan terbabit.

SAM telah memanjangkan isu ini untuk perhatian Majlis Perbandaran Pulau Pinang.  Kami difahamkan bahawa Persatuan Penduduk Gambier Heights juga telah melaporkan isu ini kepada MPPP.  Masih timbul persoalan sama ada projek ini telah mendapat kelulusan kebenaran merancang daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan bilakah ianya diluluskan. 

Antara pertanyaan kami kepada MPPP ialah apakah bentuk cadangan pemajuan yang bakal dibangunkan di kawasan terbabit dan adakah lot projek ini tertakluk di bawah Akta Pemeliharaan Tanah 1960 (Warta Tanah Bukit).  Oleh kerana tiada papan tanda untuk memaparkan maklumat mengenai kerja-kerja tanah di sini kami tidak tahu sama ada projek ini memerlukan penyediaan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling berdasarkan keluasan tapak projek dan cerun bukit. 

Memandangkan kawasan bukit adalah sensitif, SAM menyeru agar kawasan terbabit dipelihara dan dikekalkan tanpa sebarang gangguan dan aktiviti yang boleh menjejaskan kawasan terbabit.  Lebih-lebih lagi kita tidak mahu peristiwa “Botak Hill” di Bukit Relau diulangi. Bukit-bukau yang masih hijau di sini tidak harus dibangunkan. 

SAM menggesa MPPP menyiasat dengan segera kerja-kerja tanah berhampiran Gambier Heights dan mengambil tindakan tegas ke atas pemaju sekiranya mendapati telah melanggar undang-undang.  Jangan tunggu lama sehingga bukit di sini digondol. 

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden

Nota Kepada Editor:  Sekiranya hendak membuat tinjauan ke kawasan sila hubungi SAM di talian 04-2286930.

Join Donate