Lapan puluh organisasi gesa Lisa Jackson hentikan risiko keselamatan dan kesihatan pekerja Apple

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                             16 JUN 2014 

Pada 10 Jun 2014, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyertai lebih daripada 80 organisasi hak asasi manusia dan alam sekitar, serta profesional kesihatan pekerjaan menghantar surat kepada Lisa Jackson, Naib Presiden Hal Ehwal Alam Sekitar Apple menggesa syarikat itu menyingkirkan bahan kimia berbahaya daripada kilang pembekal dalam usaha untuk melindungi pekerja daripada penyakit serius.

Jackson adalah bekas pentadbir Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (USEPA). Di USEPA, Jackson memantau paras benzena dalam air dan udara untuk memastikan tiada seorang pun terdedah kepada paras bahaya bahan yang diketahui karsinogen kepada manusia. Jackson kini berada dalam jawatan unik untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja adalah diberi keutamaan dalam tahun keduanya di Apple. 

Pembuatan elektronik merupakan industri besar dan berkembang di mana walaupun terdapat undang-undang untuk melindungi keselamatan pekerja dan kod tingkah laku korporat, pekerja jatuh sakit akibat pendedahan kepada bahan kimia berbahaya ketika bekerja. Kumpulan tersebut dengan khusus menggesa Jackson supaya menggunakan pengaruhnya untuk menghapuskan dan menggantikan semua bahan kimia berbahaya yang digunakan di kilang pembekal Apple di China dengan alternatif yang lebih selamat.

Surat itu menyatakan bahawa pekerja Apple di luar negara boleh terdedah kepada lebih daripada tiga kali ganda jumlah bahan kimia berbahaya yang dibenarkan secara sah di Amerika Syarikat, akibat waktu bekerja yang lebih panjang. Pekerja di kilang pembekal Apple di China diketahui bekerja sehingga 12 jam sehari dan purata 60 jam atau lebih seminggu (menurut siasatan oleh China Labour Watch dan Fair Labour Association pada 2013).

Surat dari kumpulan itu yang boleh didapati di sini (www.greenamerica.org/bad-apple/letter-to-lisa-jackson.cfm) menyatakan bahawa walaupun terdapat Kod Tingkah laku Apple, 1.5 juta pekerja berisiko mendapat leukemia dan penyakit lain di tempat kerja. Beribu-ribu bahan kimia digunakan dalam proses membuat peralatan elektronik termasuk banyak bahan kimia yang diketahui karsinogen, toksin reproduktif, neurotoksin dan sebahagian besar yang lain belum diuji.

Apple tidak mendedahkan senarai penuh bahan kimia yang digunakan dalam pengeluaran, tetapi dua bahan kimia diketahui digunakan dan yang menjadi kebimbangan termasuklah benzena dan n-hexane, keduanya dikaitkan dengan kesakitan pekerja di kilang pembekal Apple. Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan benzena dalam Kumpulan 1 yang diketahui karsinogenik kepada manusia dan US EPA mengklasifikasikan benzena dalam Kumpulan A, yang diketahui sebagai karsinogen manusia melalui semua jenis pendedahan. Pendedahan berpanjangan kepada benzena boleh menyebabkan leukemia. N-hexane adalah neurotoksin yang boleh menyebabkan kerosakan saraf.

Bahan kimia lain yang membimbangkan akibat penggunaan yang sentiasa ada dalam pembuatan elektronik adalah alkohol industri yang lebih berbahaya berbanding rubbing alcohol dan mengandungi 5-10% metanol. Tanpa perlindungan yang sempurna, pendedahan jangka panjang kepada bahan ini boleh menyebabkan kerosakan saraf dan buta.

Sebagai salah satu syarikat berteknologi tinggi paling maju, menguntungkan dan besar di dunia, Apple sepatutnya mempunyai kaedah yang canggih untuk mengesan bahan kimia yang digunakan, paras pendedahan bahan kimia dan isu keselamatan dan kesihatan pekerja dalam kilang pembekalnya. Apple sudah pun mempunyai sistem seperti itu yang ditempatkan untuk memantau kualiti produk di kilang; standard yang sama perlu dilaksanakan terhadap kesihatan manusia.

Kumpulan itu menggesa Apple supaya menghentikan penggunaan bahan kimia toksik paling berbahaya di kilang pembekal Apple dan menggantikannya dengan alternatif yang lebih selamat. Apple juga digesa mewujudkan dana untuk membayar kos rawatan bagi pekerja yang mengalami penyakit atau kecederaan daripada pendedahan ketika bekerja dan memastikan semua pekerja yang cedera ketika membuat produk Apple menerima rawatan yang sempurna.

Pekerja di kilang pembekal Apple bekerja dalam tempoh yang lama dan panjang dengan harapan untuk masa depan yang lebih baik bagi diri dan keluarga mereka. Di Malaysia, terdapat lebih daripada 500,000 pekerja dalam industri elektrik dan elektronik. Pekerja-pekerja ini meletakkan kepercayaan terhadap majikan mereka dan jenama yang mereka hasilkan tidak meracuni mereka apabila datang ke tempat bekerja dan bernafas atau menggunakan tangan mereka.

Sebagai pengguna alat ini kita mestilah tidak menyumbang kepada bahaya pekerja. Individu yang ingin mengambil tindakan terhadap telefon pintar mereka untuk memastikan iPhone akan datang dibuat tanpa bahan kimia berbahaya boleh mengunjungi laman sesawang www.greenamerica.org/bad-apple/app.cfm. Sehingga kini, 20,000 pengguna telah menandatangani petisyen kepada Apple sebagai sebahagian daripada kempen “Bad Apple”.


S. M. Mohamed Idris
Presiden

Nota kepada Editor: Surat kepada Lisa Jackson dan senarai penandatangan boleh dilihat di http://www.greenamerica.org/…/2014-BadApple-LettertoLisaJac…

Join Donate