Lautan kita, masa depan kita

Siaran Akhbar                                             7 Jun 2017
“Lautan kita menghadapi masalah yang serius dan kemerosotannya semakin menimbulkan bahaya kepada nyawa, kehidupan dan kesejahteraan masyarakat. Sempena Hari Laut Sedunia pada 8 Jun 2017, En.Wu Hongbo, Setiausaha Agung PBB DESA berkata, "Keadaan laut kita amat membimbangkan."
"Pencemaran laut, penangkapan ikan berlebihan dan cabaran lain mengancam keadaan perairan global yang meliputi 72 peratus daripada permukaan bumi dan habitat kepada 500,000 hingga 10 juta spesies marin. Kapasiti bawaan laut kita telah mencapai hadnya," kata Encik Wu.
Lautan yang sihat adalah penting untuk mengekalkan kehidupan, menghapuskan kemiskinan dan menggalakkan kemakmuran. Lautan dan laut juga merupakan sinki karbon dioksida terbesar. Tetapi lautan mempunyai hadnya juga dan ini akan mengakibatkan kesan yang merosakkan untuk seluruh dunia.
Walaupun lautan dan laut amat penting, ianya terus terjejas oleh aktiviti manusia. Pembangunan dan projek penambakan tanah merompak penggunaan dan akses nelayan dan masyarakat kepada sumber pantai dan marin. Fenomena meraih lautan ini melenyapkan sumber marin dan ruang pergantungan nelayan dan masyarakat pesisir.
Nelayan dan masyarakat pesisir di Malaysia juga tidak terlepas daripada ancaman  projek penambakan yang semakin meluas di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Johor, Pahang. Beratus-ratus hektar kawasan menangkap ikan dan habitat marin telah hilang kerana kegilaan untuk penambakan. Sebagai contoh di Pulau Pinang, kerajaan negeri bercadang untuk menebusguna 4,500 ekar kawasan laut di selatan pulau ini, dengan mengabaikan kehidupan masyarakat nelayan dan sumber marin.
Perlombongan pasir laut dan agregat yang digunakan untuk pembangunan dan penambakan juga meningkat dengan ketara, memberi kesan kepada dan fauna  dasar laut. Berjuta-juta tan pasir dan batu-batu perlu dilombong untuk mewujudkan tanah baru.
Pengorekan dan pengeluaran agregat dari zon benthik (dasar laut) memusnahkan organisma, habitat dan ekosistem dan amat memberi kesan kepada komposisi biodiversiti. Kajian menunjukkan bahawa ini membawa kepada penurunan bersih dalam kepadatan dan kepelbagaian fauna atau perubahan dalam komposisi spesies.
Penangkapan ikan berlebihan dan yang merosakkan juga mengancam kesihatan lautan kita, kehidupan masyarakat nelayan dan keselamatan makanan di mana-mana. Pada tahun 2015, pendaratan ikan baja di Malaysia adalah 253,103 tan metrik. Ikan baja yang ditangkap terutamanya daripada pukat tunda mempunyai nilai pasaran yang sedikit dan tidak sesuai sebagai makanan manusia tetapi digunakan dalam pengeluaran makanan ikan. Pengurangan secara beransur-ansur stok ikan akan berlaku apabila ikan kecil dan anak ikan terus ditangkap.
Pencemaran laut juga telah meningkat secara mendadak disebabkan oleh sisa kumbahan, pembuangan sisa industri, mendakan daripada aktiviti di darat, kapal dan bahan pencemar lain. Setiap tahun, lebih daripada 8 juta tan metrik plastik berakhir di lautan kita. Masalah pencemaran laut akan menjadi lebih buruk dan menimbulkan risiko ekologi yang ketara, risiko kepada kesihatan awam dan memberi impak kepada perikanan dan habitat marin pada tahun-tahun akan datang.
Perubahan iklim juga akan memberi kesan kepada negara-negara dengan pergantungan tinggi kepada lautan dan sumber marin mereka. Pencairan batu apung ais akan meningkatkan paras laut, memberi kesan kepada pulau-pulau yang berkedudukan rendah dan kawasan pantai. Zon dan masyarakat pesisir pantai  adalah sangat terdedah kepada perubahan iklim dan ini akan diburukkan lagi oleh tekanan lain yang disebabkan oleh manusia.
Pemanasan lautan juga menyebabkan kemerosotan dan kematian plankton, yang seterusnya mengancam sistem sokongan kehidupan dalam planet, spesies dan ekosistem marin.
Untuk menangani isu-isu yang mengancam lautan, PBB sedang menjalankan Persidangan Lautan bertemkan “Lautan kita, masa depan kita” dari 5 hingga 9 Jun. Persidangan ini akan dijangka akan menghasilkan “Seruan untuk Tindakan” dengan rancangan konkrit bagi masa depan yang lebih mampan untuk lautan kita.
Pengurusan yang berkesan alam sekitar lautan, daratan, persisiran pantai dan marin diperlukan dari peringkat tempatan ke global untuk menyelamatkan lautan bagi menyelamatkan masa depan kita.
S.M. Mohamed Idris
Presiden

Showing 1 reaction

Join Donate