Letupan kuat di kuari batu di Batu Kawan membimbangkan penduduk

Kenyataan Media                                        26 September 2016

Letupan kuat yang luar biasa yang berlaku di Batu Kawan baru-baru ini yang dipercayai dari projek kuari batu di kawasan berdekatan membimbangkan penduduk di sini. Rata-rata penduduk sekitar kawasan termasuk penduduk taman perumahan Bandar Cassia mendakwa terkejut dengan letupan dan dentuman yang kuat hingga menggegarkan kawasan perumahan mereka.

Sahabat Alam Malaysia menggesa pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang,  Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan, Pejabat Tanah dan Galian, Polis Di Raja Malaysia Jabatan Mineral dan Geosains untuk mendedahkan kepada orang awam hasil siasatan ke atas kejadian ini dengan segera.

Penduduk tempatan memberitahu SAM bahawa projek kuari ini telah beroperasi untuk beberapa tahun dan letupan untuk memecahkan bongkah batu pada 23 September 2016 lalu telah menghasilkan bunyi yang kuat.

Penduduk mendakwa terdapat keretakan pada dinding rumah mereka berkemungkinan besar kesan dari letupan kuari tersebut. Apa yang membimbangkan mereka, kesan keretakan juga terdapat di beberapa bahagian dinding bangunan di sekolah berhampiran.

SAM khuatir jika perkara ini tidak ditangani dengan segera keselamatan orang ramai akan terancam, selain daripada kesan buruk kepada alam sekitar. Aspek keselamatan serta keberkesanan dalam penguatkuasaan dari pihak-pihak tertentu juga dipersoalkan.

Sehubungan dengan ini SAM menggesa agar permit pengeluaran bahan buatan adalah digantung dan tidak dibaharui kerana isu-isu yang timbul dan memandangkan sumber semulajadi ini semakin berkurangan.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate