Malaysia jangan tertipu oleh Rang Undang-Undang Amerika Syarikat untuk “Fast Track” perjanjian TPP

SURAT KEPADA PENGARANG                                                                                             22 APRIL 2015

Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Sahabat Alam Malaysia memperingatkan Malaysia supaya tidak tertipu oleh pengenalan rang undang-undang “fast track” Amerika Syarikat. Malaysia diingatkan untuk tidak membuat konsesi selanjutnya dalam TPP tanpa kuasa “fast track” yang sebenarnya diberikan oleh Dewan Perwakilan dan Senat Amerika Syarikat (AS).

Pusingan terakhir teknikal rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan diadakan pada minggu depan di AS. Malaysia sedang merundingkan TPP dengan 11 negara lain termasuk AS dan ianya dijadualkan dimuktamadkan dalam rundingan oleh Menteri Perdagangan pada bulan depan.

Pada masa ini AS tidak mempunyai kuasa “fast track”. Ia bermaksud satu pengerusi jawatankuasa atau beberapa senator dalam Kongres boleh membuka semula teks TPP selepas ia dimuktamadkan dalam usaha untuk menuntut lebih banyak konsesi dari Malaysia (contohnya perlindungan harta intelektual yang lebih kukuh yang akan menyebabkan ubatan dan buku teks menjadi lebih mahal atau menyingkirkan cadangan Malaysia untuk melindungi langkah kawalan tembakau) sebagai syarat meluluskan TPP.

Memandangkan rundingan TPP sudah mencapai peringkat akhir, konsesi perlu dibuat terhadap isu yang amat sensitif. Sebelum membuat konsesi ini, beberapa negara TPP seperti Kanada dan Chile mendesak AS supaya mempunyai kuasa “fast track” agar mereka lebih yakin bahawa mereka tidak akan diminta untuk membuat konsesi selanjutnya, melangkaui garis merah mereka dalam usaha untuk diluluskan oleh Kongres AS.

Malaysia kelihatan tidak mendesak AS supaya mempunyai kuasa “fast track” sebelum ia membuat konsesi akhir dalam rundingan TPP bulan depan. Ini bermakna (tidak seperti negara TPP lain) Malaysia seolah-olah sanggup memberikan lebih banyak konsesi kepada setiap pengerusi jawatankuasa kongres AS dan senator AS, dalam rundingan sebelah pihak di mana AS tidak memberikan apa-apa konsesi, dalam usaha untuk TPP diluluskan oleh Kongres AS.

Pada 16hb April, rang undang-undang “fast track” dicadangkan di Kongres AS. Bagaimanapun ia tidak mempunyai peluang untuk diluluskan oleh Dewan Perwakilan dan Senat (memandangkan ia perlu menjadi undang-undang) sebelum rundingan TPP dijangka untuk dimuktamadkan pada bulan depan. Ini kerana:    

  • Hanya 2-5% rang-undang-undang yang diperkenalkan kepada Kongres AS menjadi undang-undang.
  • Untuk meluluskannya di Dewan Perwakilan AS ia memerlukan 218 undi.

-       Rang undang-undang yang dicadangkan hanya membuat sedikit perubahan kepada rang undang-undang “fast track” yang ‘mati pada ketibaannya’ di Dewan Perwakilan apabila ia diperkenalkan pada 2014. Pada masa itu, hanya lapan daripada 201 wakil Demokrat dalam Dewan Perwakilan yang menyokong rang undang-undang itu (malah ia ditentang oleh pemimpin Demokrat di Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi) dan pemimpin Republikan di Dewan Perwakilan tidak lebih dari 100 ahli mengundi “ya”.

-       Pada tahun ini,  The Wall Street Journal melaporkan pada Mac bahawa antara 50 dan 60 wakil Republikan tidak menyokong Boehner dan Obama berhubung “fast track”. Ini memerlukan wakil Demokrat memberikan kira-kira 32 undi. Tetapi hanya kira-kira 15 wakil Demokrat dalam Dewan Perwakilan pada masa ini menyokong “fast track”, ini bermakna terdapat tidak cukup undi bagi kuasa “fast track” diluluskan.

-       Terdapat banyak penentangan kepada rang undang-undang fast track ini sehingga mereka tidak dapat mencari seorang pun wakil Demokrat untuk menajanya dalam Dewan Perwakilan.

-       Wakil utama Demokrat yang menentang rang undang-undang “fast track” ini termasuklah:

Ø  Ways and Means Committee Ranking Member, Sander Levin, yang mengeluarkan senarai enam muka surat masalah dengan cadangan rang udang-undang “fast track”.

Ø  Wakil Demokrat terkemuka Dewan Perwakilan, Chris Van Hollen, ahli ranking Jawatankuasa Belanjawan Dewan

Ø  Pemimpin Minoriti Senat, Harry Reid dan penggantinya Senator Chuck Schumer.

Ø  Senator yang berpengaruh, Elizabeth Warren.

  • Ramai Presiden AS mengalami kesukaran untuk mendapatkan “Fast Track” daripada Kongres. Kongres menafikan Presiden Bill Clinton kuasa “Fast Track” bagi enam daripada lapan tahun ketika menduduki jawatan Presiden yang mana permintaan rasmi Clinton dibuat pada 1995, 1997 dan 1998. Presiden seterusnya dari Republikan, George W. Bush, menghabiskan masa dua tahun dan modal politik yang besar untuk mendapatkan “Fast Track” pada 2002 walaupun beliau menikmati majoriti Republikan dalam Kongres. Bagaimanapun, usaha Bush untuk mendapatkan kuasa “Fast Track” ditolak oleh Kongres pada 2007 dan 2008.

Berdasarkan kepada keadaan di atas, Malaysia mestilah tidak ditipu dengan pengenalan rang undang-undang “fast track”. Malaysia seharusnya tidak membuat konsesi selanjutnya dalam TPP tanpa kuasa “fast track” yang sebenarnya diberikan oleh Dewan Perwakilan dan Senat AS.

Paling penting Malaysia tidak harus menandatangani TPPA memandangkan analisis kos-manfaat oleh pakar ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan Malaysia sebenarnya akan mengalami kerugian dalam bab TPP di mana ia sepatutnya memdapat keuntungan dan kos TPP amat berat dan berterusan bagi semua sektor dalam masyarakat Malaysia.

 

S. M. Mohamed Idris

Presiden

Persatuan Pengguna Pulau Pinang & Sahabat Alam Malaysia

Join Donate