Masalah hakisan pantai di Tanjung Bungah

hakisan

Hakisan pantai di Tanjung Bungah            Gambar : SAM

Kenyataan Akhbar                                      14 Jun 2017 

Sahabat Alam Malaysia (SAM) memandang serius mengenai hakisan pantai yang berlaku di kawasan pesisir pantai Tanjung Bungah.  Kami menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk segera menyiasat punca hakisan di sini. 

Dalam tinjauan yang dibuat SAM, kami mendapati keadaan  hakisan pantai di sini adalah semakin ketara.  Penduduk di sini menyatakan bahawa masalah ini telah berlaku sejak tahun 2016 lagi dan mengadu bahawa pihak JPS tidak mengambil tindakan berkesan bagi menangani masalah yang berlaku walaupun aduan telah dibuat oleh penduduk di kawasan berkenaan. 

Di samping aduan penduduk, Nelayan Tanjung Tokong dalam halaman Facebook kumpulan ini juga telah menyuarakan kerisauan nelayan-nelayan Tanjung Bungah dengan kejadian hakisan pantai yang bertambah teruk di kawasan mereka.

SAM khuatir jika masalah ini tidak ditangani segera, besar berkemungkinan masalah hakisan ini semakin sukar ditangani sekiranya kawasan tersebut sentiasa terdedah kepada tiupan angin kencang dan damparan ombak yang semakin besar.

Sekiranya situasi ini dibiarkan berlarutan tanpa sebarang tindakan yang sewajarnya untuk mengekang masalah hakisan, secara tidak langsung ia turut mempengaruhi kualiti hidup komuniti dan nelayan setempat. Kesan hakisan ini bukan sahaja memusnahkan harta benda dan kawasan kediaman malah turut mengancam nyawa penduduk yang mendiami kawasan pesisir pantai.

Sehubungan itu, SAM menyeru agar pihak Kerajaan Negeri serta JPS memandang serius dan mengambil tindakan segera bagi menyiasat dan menyelesaikan masalah hakisan pantai di Tanjung Bungah.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden


Showing 1 reaction

Join Donate