Masalah hakisan tebing di Lebuh Raya Lingkaran Butterworth (LLB)

Hakisan di lebuhrayaHakisan tanah yang kelihatan di Lebuh Raya Lingkaran Butterworth (Gambar: SAM)

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                           09 JUN 2016

Sahabat Alam Malaysia (SAM) memandang serius mengenai hakisan pantai yang berlaku di Lingkaran Lebuh Raya Butterworth (LLB) yang dilihat semakin kritikal. 

Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Pihak Lingkaran Lebuh Raya Butterworth (Penang) Sdn. Bhd. (LLB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  serta agensi-agensi yang berkaitan perlu segera menyiasat perkara ini kerana hakisan tersebut semakin hampir dengan lingkaran lebuh raya berkenaan. 

Jika situasi tersebut berlarutan, bukan sahaja lebuh raya ini akan terhakis malah ia turut mengancam keselamatan para pengguna yang melalui lebuh raya terbabit.

Dalam tinjauan yang dibuat SAM baru-baru ini,  kami terkejut dengan hakisan pantai yang berlaku. Kami berasa hairan kenapa pihak LLB tidak mengambil sebarang tindakan pantas bagi mengatasi masalah yang berlaku. Malah dalam tinjauan tersebut juga kami turut melihat keadaan  air laut di tepi pantai berwarna merah dan bahan buangan (sampah) yang mencemar pemandangan di kawasan tersebut. 

Respons yang diterima dari orang ramai menyatakan bahawa mereka bimbang dengan keadaan itu di mana ketika ini ombak yang kuat telah menyebabkan hakisan itu semakin menghampiri tebing lebuh raya berkenaan. Jika situasi ini dibiarkan maka keselamatan dan nyawa mereka terancam. Selain itu, ada juga yang menyatakan  bahawa mereka telah memaklumkan masalah ini kepada pihak LLB namun tiada sebarang tindakan dilakukan.

SAM khuatir jika masalah ini tidak ditangani dengan segera maka impaknya akan bertambah buruk. Sehubungan itu, SAM menggesa agar pihak LLB serta pihak-pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan segera bagi menangani dan menyelesaikan masalah ini.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate