Masalah lalat dan pencemaran asap kilang

Glove factoryKilang sarung tangan di Ayer Tawar, Perak                  Gambar: SAM

Kenyataan Akhbar                                                     13 Oktober 2016

SAM bimbang kesihatan penduduk terjejas 

Sahabat Alam Malaysia (SAM) bimbang kesihatan lebih 1,000 penduduk di Kampung Batu 19, Ayer Tawar daerah Manjung Perak terjejas kerana terlalu lama terdedah kepada ancaman lalat dan pencemaran udara yang berlaku di kawasan itu.

Masalah yang berpunca dari ladang ternakan ayam dan kilang sarung tangan di tempat tersebut telah dihadapi mereka sejak lebih 15 tahun yang lalu dan hingga sekarang tidak ada tindakan bagi mengatasinya diambil oleh pihak berkenaan walaupun aduan sudah beberapa kali dibuat oleh penduduk-penduduk di sini. 

Tinjauan SAM mendapati selain penduduk kampung ini yang tidak selesa menghadapi keadaan itu, para penghuni di Taman Iswara dan Ladang Bilham juga resah berikutan gangguan lalat dan masalah pencemaran udara yang berlaku.

Lalat bukan saja menyerang rumah kediaman penduduk tetapi juga kedai makanan dan kedai menjual sayur-sayuran yang terdapat di kawasan itu.

Flies on foodSayur-sayuran yang dihinggapi lalat di Kg Batu 19, Ayer Tawar, Perak.               Gambar: SAM

Penduduk-penduduk yang terlibat memberitahu SAM bahawa kilang sarung tangan di sini beroperasi 24 jam dan pada waktu malam kilang tersebut melepaskan asap tebal  menyebabkan mereka sukar untuk bernafas. Mereka khuatir asap tebal yang menyelubungi ruang udara di sini beracun dan boleh menjejaskan kesihatan.

SAM juga dimaklumkan, sebelum ini kejadian ikan mati pernah berlaku di dalam parit berdekatan kilang di sini dipercayai berpunca dari sisa buangan yang dilepaskan oleh pihak kilang ke dalam parit tersebut.

Sehubungan itu SAM menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menjalankan siasatan dengan segera terhadap masalah ini. Tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 jika pihak kilang di dapati melanggar peraturan-peraturan yang termaktub di bawah akta tersebut.

SAM turut meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) melakukan pemantauan di kawasan ini bagi memastikan keadaan di sini terkawal dan selamat dari sebarang bentuk ancaman pencemaran alam sekitar.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

 

Join Donate