Nelayan Sungai Kerian, daerah Seberang Perai Selatan berdepan krisis kemerosotan hasil tangkapan udang galah

Nelayan yang sedang menjala udang galah.           gambar : SAM

Kenyataan Media                                    18 Julai 2017

Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak berkuasa berkenaan perlu memandang serius serta mengambil inisiatif bagi mengatasi pelbagai masalah yang mengancam sumber pendapatan nelayan sungai di perairan Sungai Kerian, Daerah Seberang Perai Selatan ketika ini.

Masalah yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu telah menyebabkan nelayan-nelayan terbabit menghadapi kemerosotan hasil tangkapan. Majoriti nelayan di sungai tersebut hanya menjadikan udang galah sebagai hasil tangkapan utama. Masalah yang dihadapi oleh nelayan-nelayan di sungai terbabit antaranya ialah bot besar menyauk siput, sangkar ikan, stor pendaratan ikan baja, bubu naga, pembuangan ikan keli dan kolam ternakan yang masih dalam proses pembinaan.

Dalam satu tinjauan yang dijalankan oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA) dan Nelayan Sungai Tanjung Berembang mendapati aktiviti menyauk siput kepah di dalam sungai tersebut dilihat semakin ketara tanpa sebarang kawalan dan pemantauan dari pihak-pihak berkuasa.  Mereka dilihat dengan rakus menyauk siput sehingga tidak menghiraukan soal keselamatan nelayan-nelayan sungai yang sedang memancing dan menjala udang galah di kawasan berhampiran.

Nelayan yang ditemui menyatakan individu-individu terbabit seolah-olah menganggap kawasan yang dipenuhi dengan siput tersebut adalah milik persendirian malah mereka langsung tidak memikirkan kesan buruk dan ancaman terhadap alam sekitar serta ekosistem dasar sungai.

Selain itu turut kelihatan bubu naga yang diletakkan di beberapa bahagian tebing sungai yang mana kawasan tersebut merupakan kawasan nelayan menjala udang galah. Dengan adanya bubu naga tersebut aktiviti menjala bagi sebilangan besar nelayan sungai terjejas kerana jala mereka sering tersangkut pada bubu berkenaan.

Menurut komuniti nelayan sungai mereka menyatakan penggunaan bubu naga dan aktiviti menyauk siput merupakan antara penyumbang kepada kemerosotan hasil tangkapan di Sungai Kerian pada ketika ini. Mengikut undang-undang dan akta penggunaan alatan tangkapan, bubu naga adalah termasuk dalam senarai alat tangkapan yang tidak diluluskan oleh Jabatan Perikanan Malaysia. 

Sepanjang tinjauan ke lokasi kami turut menemui beberapa buah jentera yang sedang menjalankan aktiviti mengorek tanah untuk dijadikan kolam ternakan. Tapak kolam ternakan tersebut pula sebelum ini dipenuhi dengan deretan pokok nipah namun apa yang menyedihkan pada masa kini kawasan tersebut akan menjadi kolam ternakan malah ia  begitu hampir dengan tebing Sungai Kerian.

Sehubungan itu, kami berharap agar pihak-pihak berkenaan tampil memantau dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini. Kami percaya jika keadaan ini dibiarkan tanpa ada sebarang tindakan maka yang pertama sekali yang akan berlaku adalah sumber pendapatan nelayan-nelayan sungai terbabit akan merosot serta menghadapi kesukaran untuk menjalankan aktiviti harian dan sekali gus mata pencarian mereka akan terjejas. Kami juga berpendapat bahawa kesemua aktiviti terbabit memudaratkan malah ia memberi kesan buruk terhadap alam sekitar dan keseimbangan ekosistem.

SAM, PIFWA dan Komuniti Nelayan Sungai Kerian sedia memberi kerjasama untuk membanteras masalah ini dengan sekadar yang termampu demi kebaikan bersama dan dalam masa yang sama dapat meredakan kebimbangan serta kesulitan yang dihadapi nelayan-nelayan terbabit.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden


Showing 4 reactions

Join Donate