Operasi Pengorekan Pasir di Sedim, Baling, Kedah Membimbangkan Penduduk Kampung

Kenyataan Akbar                                    11  Februari 2018

180211 Penduduk Kg Pekan Sedim dan Kg Bkt Rawa membantah aktiviti pengeluaran pasir di situPenduduk Kg Pekan Sedim dan Kg Bkt Rawa membantah aktiviti pengeluaran pasir di situ

Sahabat Alam Malaysia (SAM) memandang serius tentang kegiatan mengorek pasir yang sedang aktif dijalankan di Kampung Pekan Sedim dan Kampung Bukit Rawa, Sedim, Daerah Baling, Kedah di mana ia menimbulkan kebimbangan kepada sebilangan besar penduduk-penduduk kampung pada ketika ini.

Rata-rata penduduk di empat buah kampung yang berdekatan iaitu Kampung Bukit Rawa, Kampung Pekan Sedim, Kampung Gelugur dan Kampung Kepala Titi menyatakan kekhuatiran mereka berhubung perkara ini kerana pelbagai masalah akan timbul kepada mereka sekiranya kerja-kerja pengeluaran pasir diteruskan. Selain itu kehidupan seharian mereka akan terjejas serta laluan utama di jalan Kampung Bukit Rawa turut akan digunakan oleh lori-lori besar yang mengangkut pasir.

Pihak-pihak yang berkenaan perlu sedar bahawa jalan tersebut merupakan laluan utama yang digunakan oleh penduduk tempatan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah, ulang alik ke tempat kerja dan sebagainya. Tambahan pula kebanyakan rumah berada di tepi jalan dan tidak mustahil akan mengundang pelbagai masalah yang berkaitan pencemaran alam sekitar seperti debu pasir, asap dan bunyi bising ekzos lori.

SAM telah menjalankan tinjauan ke kawasan ini sejak penduduk kampung sedar tentang perancangan projek. Maklumat yang kami perolehi dari Pejabat Tanah dan Daerah Kulim pada Oktober 2016 menyatakan bahawa kerja-kerja pengeluaran pasir masih dalam peringkat permohonan manakala pertimbangan kelulusan adalah melalui Mesyuarat “One Stop Center” Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah..

En.Mohd zainol bin Md Isa pengerusi jawatankuasa bertindak memegang surat laporan polis berhubung isu pasir

Apa yang mendukacitakan kami ialah kenapa pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti Pejabat Tanah dan Daerah Kulim,  Pejabat Tanah dan Daerah Baling, Pejabat Tanah dan Galian Kedah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak mempertimbangkan dengan serius beberapa aduan yang dibuat oleh SAM serta penduduk tempatan.

Malah pihak SAM juga telah beberapa kali menghantar surat kepada pihak-pihak terbabit untuk mengetahui keadaan terkini berkenaan projek berkenaan namun sehingga kini kami masih belum menerima sebarang maklumbalas. Sehubungan itu kami ingin mengetahui adakah permohonan kerja-kerja pengeluaran pasir ini telah diluluskan oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah atau masih lagi dalam proses kelulusan.

SAM bimbang jika kerja-kerja pengeluaran pasir ini beroperasi maka kegiatan keluar masuk lori-lori tersebut akan membahayakan dan mengancam keselamatan penduduk terutama kanak-kanak.  Selain itu aktiviti ini berkemungkinan akan menyebabkan struktur tanah menjadi tidak stabil yang mana boleh mengakibatkan hakisan dan jerlus. Jika dibiarkan perkara ini berlanjutan akan meninggalkan lompang besar yang sukar dipulihkan. Untuk proses pemulihan pula memerlukan belanja yang besar yang mana akan mengakibatkan kerugian kepada Negara amnya kerana pembiayaan kos baik pulih.

Kerja-kerja pengorekan dan pengambilan pasir ini juga dikhuatiri akan memberi implikasi negatif kepada ekosistem dan alam sekitar jika ia dikendalikan tanpa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib. Isu ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ini melibatkan masa depan alam sekitar dan juga habitat flora dan fauna serta penduduk setempat. Maka dengan itu, ia perlu dikaji sedalam-dalamnya sebelum kata sepakat diambil demi kepentingan alam sekitar.

Sehubungan dengan ini SAM menggesa agar Pihak Kerajaan Negeri Kedah, Pejabat Tanah dan Daerah Baling, Pejabat Tanah dan Daerah Kulim, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menangani masalah yang sedang berlaku agar perkara ini dapat diselesaikan secara telus dalam berhemah.

Pihak yang terbabit juga perlu turun padang berjumpa dan berbincang dengan penduduk-penduduk tempatan supaya masalah ini dapat diselesaikan dan suara penduduk didengari.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate