Pembangunan pesat antara punca banjir kilat di Bayan Baru

Tinjauan SAM mendapati pelaksanaan projek pembangunan yang pesat dan kegagalan sistem saliran berfungsi dengan berkesan ketika hujan menyebabkan berlakunya kejadian itu.

Aktiviti penerokaan bukit dan kawasan tanah tinggi di Sungai Ara berkemungkinan menjadi salah satu punca banjir kilat dan banjir lumpur berlaku di kawasan Bayan Baru, yang lokasinya di hilir Sungai Ara.  

Tambahan, pembangunan tidak terkawal dan penerokaan bukit yang sedang rancak di Bayan Lepas juga menyumbang kepada banjir di kawasan ini.

Keadaan ini menjadi lebih buruk kerana sistem saliran yang dibina di kawasan rendah terlalu sempit dan tidak dapat menampung pengaliran air ketika hujan.

SAM berharap kerajaan Pulau Pinang bertindak segera menghentikan semua projek pembangunan yang sedang dalam pelaksanaan bagi memberi laluan kepada jabatan dan agensi berkaitan membuat kajian terhadap masalah ini.

SAM meminta kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengkaji punca-punca berlakunya kejadian ini dan mengambil tindakan menangani masalah berkenaan.

Pada masa yang sama penguatkuasaan undang-undang yang tegas juga perlu dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke atas pemaju, peniaga dan orang ramai yang melakukan kesalahan membuang sampah dan menutup longkang atau saliran di kawasan ini sehingga menjejaskan pengaliran air dan mencetuskan banjir kilat di kawasan tersebut.

SAM bimbang keadaan banjir kilat di Bayan Baru akan menjadi lebih buruk pada masa akan datang jika punca-puncanya dibiarkan berlarutan.  Tambahan daripada itu, kekerapan dan intensiti hujan dijangka akan meningkat kerana perubahan iklim.  Sebarang perancangan pembangunan dan penyelenggaraan sistem perparitan perlu mengambilkira kesan daripada perubahan iklim.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate