Penduduk Penan Sungai Patah, Baram, menghadapi ancaman pembalakan dan cadangan pembinaan Empangan Baram secara serentak

Penduduk Penan Sg PatahPenduduk Long Daloh menjaga hutan komunal mereka dengan menanam spesis-spesis pokok hutan untuk memuliharakan hutan mereka

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                            13 MAC 2013

SAM telah dimaklumkan oleh kaum Penan di Sungai Patah, Baram, bahawa tanah adat mereka kini sedang berhadapan dengan dua buah ancaman secara serentak. Ancaman pertama adalah percubaan sebuah syarikat pembalakan untuk mencerobohi hutan simpan kampung mereka yang telah berjaya dilindungi daripada sebarang pencerobohan semenjak blockade terakhir mereka sekitar tahun 2008-2009. Sementara itu, ancaman kedua pula ditimbulkan oleh cadangan pembinaan projek hidro Empangan Baram.

Di Long Daloh, penduduk kini terpaksa menghentikan pencerobohan pembalakan dengan sekali lagi mendirikan blockade ke kawasan hutan simpan kampung mereka semenjak Mac 2 lepas. Tindakan ini diambil selepas mereka menulis surat aduan kepada Jabatan Hutan Sarawak, membuat laporan polis di Marudi dan menulis kepada Pegawai Daerah Marudi untuk memaklumkan tentang penubuhan Jawatankuasa Bertindak di Long Daloh.

Menurut penduduk, sebelum ini, syarikat pembalakan telah berunding dengan individu-individu tertentu sahaja daripada kampung mereka. Berikutan itu, sebuah perjanjian telah ditandatangani antara syarikat tersebut dengan ‘perwakilan’ kampung Long Daloh secara sulit, tanpa persetujuan penduduk kampung yang lain. Penduduk turut mendakwa bahawa pihak syarikat telah juga cuba menyakinkan perwakilan tersebut bahawa tanpa sebarang perjanjian, penduduk kampung akan mengalami kerugian yang lebih tinggi kerana hutan di kawasan Sungai Patah pun akhirnya akan ditenggelamkan oleh Empangan Baram.

Sementara itu di kampung berjiran, Long Lutin, setakat ini tiada sebarang pencerobohan pembalakan telah berlaku. Walaupun syarikat pembalakan dilaporkan ada cuba untuk berunding dengan pihak Ketua Kampung semenjak bulan Januari lagi, tiada sebarang perjanjian telah ditandatangani oleh mana-mana ‘wakil’ penduduk. Ketua Kampung Tangan Anyi berserta ahli jawatankuasa kampung beliau telah menulis kepada Jabatan Hutan Negeri Sarawak pada Februari 6 yang lalu untuk mengadu tentang ancaman pencerobohan ini dan seterusnya mendirikan papan tanda amaran berhampiran dengan kawasan hutan simpan kampung mereka yang melarang sebarang pencerobohan oleh mana-mana pihak.

Selain daripada itu, kedua-dua kampung ini juga sedang berhadapan dengan tekanan akibat daripada rancangan pembinaan Empangan Baram. Semenjak bulan Januari, mereka melaporkan bahawa mereka telah menolak untuk bekerjasama dengan pihak perwakilan Sarawak Energy Berhad yang telah berkunjung ke kampung mereka sebanyak tiga kali. Penduduk mendakwa bahawa kunjungan tersebut dilakukan untuk memberikan taklimat kepada mereka tentang keperluan dan kebaikan Empangan Baram, selain untuk mengumpul maklumat daripada setiap keluarga. Akan tetapi, semuanya ini telah gagal dilakukan kerana penduduk benar-benar membantah pembinaan empangan tersebut.

Seperti banyak pihak lain, SAM juga berpendapat bahawa cadangan pembinaan projek-projek mahal ini yang akan memusnahkan khazanah alam sekitar dan budaya yang tidak ternilai, telah dikembangkan tanpa mengambil kira persetujuan penduduk terjejas dan pihak awam. Pemberian taklimat tatkala keputusan telah dibuat bukanlah perundingan untuk menyiasat samada persetujuan diberi penduduk. Pembinaan Empangan Baram tidak akan memberikan manfaat kepada penduduk terjejas yang akan dipaksa-pindah meninggalkan kampung halaman ataupun kepada negeri Sarawak, yang kini sudah memiliki sumber tenaga berlebihan sesudah pembinaan Empangan Bakun dan Murum.

SAM ingin menggesa pihak berkuasa negeri dan persekutuan untuk memberikan perhatian segera terhadap hak-hak tanah adat dan kebajikan kaum Penan di Sungai Patah.

Pertamanya, penduduk telah lama menuntut agar hutan simpan kampung mereka diwartakan untuk melindunginya daripada sebarang pencerobohan pihak luar. Kedua, mereka juga telah lama merayu agar sebuah pusat perubatan didirikan di Long Lutin bagi menampung keperluan perubatan tujuh buah penempatan Penan di Sungai Patah.

Terakhir sekali, kedaifan hidup kaum Penan sangat memerlukan jalan penyelesaian yang betul-betul dapat memanfaatkan mereka. Bantuan pertanian dan penyelenggaraan jalan harus diberikan keutamaan. Selama mana penduduk harus bergantung kepada belas ihsan syarikat pembalakan untuk memperbaiki jalan dan sebagainya – bukankah ini tugas yang sepatutnya dipikul oleh pihak kerajaan sendiri?


S.M. Mohamed Idris
Presiden

Nota: Sila hubungi Jok Jau Evong di SAM Marudi, 085 756973 jika ada sebarang pertanyaan atau perlukan apa-apa maklumat lanjut.

 

 

Join Donate