Pengambilan pasir: Sungai Batang Benar teruk berkelodak

Batang Benar BerkelodakSungai Batang Benar yang teruk berkelodak

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                            21 MAC 2016

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Negeri Sembilan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran Sungai Batang Benar yang teruk tercemar ketika ini.

Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati masalah yang berpunca dari kegiatan mengorek pasir di sungai tersebut telah menyebabkan air sungai berkenaan keruh dan berkelodak. Manakala di sepanjang sungai ini pula berlaku mendapan lumpur yang serius. 

SAM kesal dan bimbang dengan kejadian ini kerana aktiviti pengambilan pasir boleh menjejaskan alam sekitar dari segi pencemaran air sungai, kestabilan tanah dan tebing sungai terancam, pemendapan tanah, gangguan kepada hidupan akuatik serta riparian dan berlaku perubahan kepada aliran air sungai. Banjir kilat juga mungkin berlaku kerana sungai menjadi cetek. 

SAM berharap pihak berkenaan mengambil tindakan menghentikan operasi mengambil pasir di sungai ini supaya siasatan dan kajian terperinci dapat dilakukan. 

SAM juga mendapati lama kelamaan jalan raya, infrastruktur lain, kawasan penempatan penduduk di hilir sungai juga mungkin turut terjejas jika berlaku hakisan dan tanah runtuh akibat kerja-kerja mengorek pasir di sini. 

Justeru itu SAM meminta PTG, JPS, JAS dan PBT membuat pemantauan di semua lokasi di mana kerja-kerja mengorek pasir dilakukan bagi memastikan para pengusaha yang terlibat mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan. 

Pengambilan pasir di Batang BenarOperasi pengambilan pasir di Sungai Batang Benar

SAM menegaskan, para pengusaha pasir tidak boleh dengan sewenang-wenangnya  mencemarkan alam sekitar tanpa memikirkan kesan buruk yang akan berlaku dan dihadapi orang ramai. Mereka yang melanggar peraturan serta syarat wajar dikenakan hukuman yang setimpal termasuk membatalkan atau menarik balik permit yang diberikan.   

SAM telah menghantar surat kepada jabatan-jabatan yang terlibat termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) supaya siasatan segera dilakukan dan tindakan berkesan diambil bagi mengatasi masalah ini. 

Dalam perkembangan lain SAM mengalu-alukan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang telah menunda kapal korek pasir dan menahan anak kapal kerana melombong pasir di luar zon yang dibenarkan di perairan berdekatan Tanjong Dawai, Kedah baru-baru ini. 

Di Malaysia dan seluruh dunia pasir sedang diekstrak pada kadar yang jauh lebih besar daripada pembaharuannya. Jumlah yang diekstrak mempunyai kesan yang besar ke atas sungai, delta dan ekosistem pantai dan marin. Memandangkan kesan negatif yang tidak dapat dinafikan , kita perlu meningkatkan tadbir urus pengekstrakan dan menghentikan eksploitasi sumber semula jadi kita. 

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden  

 

Join Donate