Penuhi tuntutan memorandum PWPBS tentang permasalahan kaum wanita dan kanak-kanak Penan

PWPBS Memorandum

PWPBS dengan memorandum yang akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                    18 OKTOBER 2013 

Pada hari ini, Persatuan Wanita Penan Baram Sarawak (PWPBS) akan mengadakan sebuah sidang akhbar yang bertempat di Hotel Telang Usan, Miri, Sarawak untuk mengkhabarkan tentang penyerahan memorandum yang mengandungi tuntutan-tuntutan kaum Penan di Sarawak, dan secara lebih khusus, tuntutan-tuntutan yang berkaitan dengan kebajikan kaum wanita dan kanak-kanak Penan.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah mengkaji kandungan memorandum tersebut dan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh PWPBS sememangnya merupakan perkara-perkara yang telah dituntut oleh kaum Penan sejak dahulu lagi dan sudah disuarakan oleh Persatuan Penan Sarawak (SPA) melalui Deklarasi Long Sayan 2002 dan pelbagai surat-menyurat yang lain selama bertahun-tahun lamanya.

Memorandum itu antara lain meminta Kerajaan Negeri Sarawak supaya membina lebih banyak prasarana asas dengan perkhidmatan yang bermutu untuk kampung-kampung Penan, seperti klinik kesihatan dan sekolah serta meningkatkan capaian kaum Penan kepada perkhidmatan pengangkutan darat yang selamat.

Ia juga meminta agar program-program peningkatan kapasiti diadakan bagi segmen-segmen khusus kaum Penan, seperti latihan-latihan keusahawanan untuk wanita, program-program penjagaan kesihatan, pemakanan dan pencegahan penyakit, program latihan sosio-ekonomi kepada golongan belia dan program pendidikan khas bagi golongan buta huruf dan mereka yang keciciran sekolah.

Memorandum itu turut menyentuh tentang bagaimana segala permasalahan jalanraya yang membahayakan dan jumlah sekolah dan klinik yang sedikit telah menyebabkan kebergantungan kaum Penan pada kenderaan syarikat-syarikat pembalakan. Permasalahan ini ternyata sangat menyulitkan kaum Penan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang baik, terutamanya bagi kaum ibu yang mengandung atau yang baru melahirkan dan anak-anak mereka.

Masalah kekurangan sekolah dan pengangkutan yang tidak memuaskan ini juga telah turut menjadi salah satu penyebab kadar keciciran sekolah yang tinggi untuk kanak-kanak Penan.

Kaum Penan di Baram sejak dahulu lagi telah menyuarakan kebimbangan dan keperitan hidup yang mereka alami apabila hutan mereka ditebang dan dimusnahkan. 

Oleh itu, kami menggesa agar Kerajaan Negeri Sarawak memberikan maklumbalas yang segera terhadap tuntutan yang terkandung dalam memorandum tersebut dan mengambil tindakan-tindakan yang wajar untuk memenuhi segala tuntutan mereka.

S.M. Mohamed Idris
Presiden

Join Donate