Perjanjian TPP dicapai - Hari Gelap untuk Malaysia

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                    06 OKTOBER 2015

Walaupun terdapat bantahan meluas di peringkat antarabangsa, pegawai perdagangan dari 12 negara yang merundingkan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) di Atlanta, Amerika Syarikat semalam mengumumkan bahawa mereka telah mencapai persetujuan ke atas perjanjian perdagangan, yang akan mengancam manusia dan dunia.

Teks muktamad dijangka boleh didapati dalam beberapa minggu lagi. Siaran media menteri perdagangan negara-negara TPP menyatakan bahawa untuk memformalkan hasil perjanjian tersebut, perunding akan meneruskan kerja-kerja teknikal untuk menyediakan teks yang lengkap untuk siaran awam, termasuk kajian undang-undang, penterjemahan, penggubalan dan pengesahan teks.
 
Oleh itu perjuangan kita belum berakhir, TPP masih menghadapi beberapa prosedur dan cabaran sebelum disahkan di peringkat kebangsaan. Pertama, TPP masih belum ditandatangani dan Malaysia masih perlu membuat keputusan sama ada untuk menandatanganinya. Orang awam dan Parlimen masih boleh mengemukakan pandangan mereka dan mempengaruhi kerajaan untuk tidak menandatanganinya. Kedua, teks TPP masih rahsia dan adalah penting untuk ia dikeluarkan supaya orang awam boleh mengetahui apakah sebenarnya yang dikatakan dan implikasinya.
 
Bagaimanapun, cukup diketahui mengenai TPP daripada teks yang dibocorkan dan daripada laporan oleh kumpulan antarabangsa dan tempatan serta pakar, untuk membuatkan kita amat bimbang mengenai kesan negatifnya dan menggesa kerajaan agar menolak TPPA dan tidak turut serta untuk menandatanganinya.
 
 
TPP ialah bom jangka yang sedang berdetik kerana ia mengetatkan mekanisme  Penyelesaian Pertikaian antara Kerajaan dan Pelabur (Investor-State Dispute Settlement - ISDS) yang tidak adil yang membolehkan syarikat-syarikat asing untuk menyaman kerajaan kerana mengambil tindakan bagi melindungi alam sekitar. Banyak polisi kerajaan diperlukan untuk menangani isu-isu kesihatan awam, alam sekitar dan pemanasan global akan berhadapan dengan dakwaan yang akan dibawa ke tribunal pelaburan antarabangsa yang berat sebelah, tidak telus dan tidak demokratik.
 
Antara lain, TPP juga tidak berfaedah untuk kesihatan awam. Peraturan Harta Intelek dalam TPP akan meningkat paten dan perlindungan data bagi syarikat-syarikat farmaseutikal, menyebabkan harga yang lebih tinggi untuk ubat-ubatan dan bagi tempoh yang lebih lama. Ini bermakna bahawa ubatan untuk menyelamatkan nyawa lebih sukar untuk dicapai oleh orang ramai yang memerlukannya.
 
TPP juga mempunyai bab mengenai syarikat milik negara dan perolehan kerajaan yang dengan secara serius akan membatasi kemampuan kerajaan untuk terus menyediakan keutamaan dan kelebihan kepada syarikat tempatan atau untuk membolehkan syarikat berkaitan kerajaan daripada memainkan peranan penting dalam ekonomi. Ini akan memberikan kesan kemusnahan kepada struktur dan fabrik sosio-ekonomi negara kita.
 
Malahan dari segi perdagangan pun, Malaysia mungkin tidak mendapat keuntungan bersih memandangkan tarif pada umumnya lebih tinggi berbanding negara perkongsian TPPA, terutama sekali Amerika Syarikat dan Singapura. Oleh itu Malaysia perlu mengurangkan tarif pada kadar yang lebih tinggi berbanding negara lain, dan ini akan membawa kepada peningkatan dalam import yang akan menghalang jangkaan peningkatan dalam eksport kita hasil daripada TPPA. Menurut satu kajian, imbangan perdagangan Malaysia akan menjadi lebih buruk sehingga RM5-6 bilion setahun. Dalam perkataan lain, TPP akan menjadikan Malaysia lebih buruk malahan dalam bab (perdagangan dalam barangan) di mana Malaysia sepatutnya cukup mendapat manfaat untuk mengatasi semua kos dalam keseluruhan TPP.
 
CAP dan SAM menggesa ahli Parlimen, orang awam dan semua pertubuhan masyarakat sivil untuk meneliti dan menganalisis teks perjanjian TPP.
 
Kerajaan Malaysia mesti menyiarkan Analisis Kos dan Faedah daripada perjanjian perdagangan ini. Kami juga kecewa bahawa sehingga kini kerajaan masih belum mengumumkan apakah rasional untuk menyertai TPP dan justifikasi perjanjian yang bukan semuanya tentang perdagangan.
 
Ia juga adalah penting bagi rakyat untuk menyuarakan kebimbangan mengenai TPP dan menggesa kerajaan untuk tidak menandatangani perjanjian ini memandangkan ia akan menjejaskan kesihatan awam, alam sekitar, pekerjaan, dan kedaulatan negara.
 
S.M. MOHAMED IDRIS
Presiden
SAM & CAP

 

Join Donate