Pokok Getah GM di Malaysia: Menceburi Tanpa Jaring Keselamatan

SURAT KEPADA PENGARANG                                                                                        11 FEBRUARI 2015

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah dengan sekeras-kerasnya penanaman pokok getah ubah suai genetik (GM) di Malaysia.

Lewat tahun lepas, Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) menyerahkan permohonan untuk mendapatkan kelulusan bagi menjalankan ujian lapangan pokok getah GM secara ‘terhad’ di Penawar, Kota Tinggi, Johor. Pada hakikatnya, adalah tidak jelas jika ujian lapangan itu sudah pun dijalankan di Malaysia tanpa pengetahuan awam dan melanggar undang-undang. 

Permohonan itu diserahkan kepada Jabatan BioKeselamatan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, yang mengawal organisme ubah suai genetik di Malaysia, di bawah Akta Biokeselamatan 2007. Jawatankuasa Penasihat Ubah Suai Genetik sedang menilai permohonan tersebut. 

Pokok getah yang dikenali secara saintifik sebagai Hevea brasiliensis akan diubah suai genetiknya untuk menjadi ‘kilang hidup’ yang menghasilkan protein khusus untuk kegunaan farmaseutikal. Tujuan ujian lapangan yang dicadangkan itu adalah untuk menilai ekspresi transgenes dalam daun dan susu getah (latex) dari pokok getah GM pada peringkat pertumbuhan yang berbeza dalam keadaan di lapangan. 

Disebabkan pokok getah GM akan menghasilkan protein farmaseutikal dalam susu getah, ia perlu dinilai dengan lebih teliti. Apakah jaminan bahawa transgenes tidak akan tersebar dalam alam sekitar? 

Secara kritikalnya, memandangkan pertumbuhan malar pokok ini, dalam banyak kes saiznya yang besar dan jangka hayatnya yang panjang, pokok GM mungkin akan mengembangkan interaksi ekologi pelbagai peringkat dan kompleks dengan organisme lain. Interaksi pokok ini dengan alam sekitar dengan itu boleh menghasilkan kesan jangka panjang ke atas tanah, sesawang makanan dan ekosistem hutan, yang perlu dinilai.

Berdasarkan lembaran fakta yang diperolehi dari Malaysia Biosafety Clearing House (www.biosafety.nre.gov.my) kami yakin data adalah tidak mencukupi dan bukti keselamatan tidak disediakan dengan lengkap. 

Penggunaan gene manusia dan haiwan (tikus) dalam pokok getah GM juga menimbulkan kebimbangan sosial, etika dan budaya yang serius. Kami menggesa Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (National Biosafety Board - NBB) dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar supaya melaksanakan Seksyen 35 Akta Biokeselamatan 2007, yang memperuntukkan pertimbangan sosio-ekonomi untuk diambilkira. Ini termasuklah perkara yang berkaitan agama, sosial, budaya dan nilai etika komuniti. Pendapat Majlis Bioetika Kebangsaan (National Bioethics Council - NBC) juga perlu diperolehi bagi penelitian etika dengan lebih mendalam.  

Malaysia merupakan parti kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity - CBD), yang menggesa pendekatan berhati-hati (precautionary principle) terhadap pokok GM. Ini bermakna tidak menanam atau menjalankan ujian lapangan untuk pokok seperti itu sebelum menentukan potensi kesan jangka panjang yang sebenar pokok GM terhadap kepelbagaian biologi hutan global dan kehidupan orang asal serta komuniti tempatan. Khususnya, permohonan yang dipersoalkan itu tidak menangani kemungkinan kesan negatif ke atas alam sekitar yang mungkin timbul daripadanya, sebagai contoh pendebungaan silang atau penyebaran benih, yang mana parti-parti dalam CBD telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap perkara tersebut. 

Persekutuan Saintis Jerman (Federation of German Scientists) pada 2008 merumuskan bahawa kerana jangka hayat yang panjang dan kompleksiti pokok yang merupakan organisme dengan habitat yang besar dan mempunyai banyak interaksi, tidak mungkin untuk membuat penilaian risiko yang mencukupi dan bermakna terhadap pokok GM pada masa kini. Sehubungan itu, bagaimana Malaysia boleh mempertimbangkan permohonan tersebut, apabila ia mungkin tidak mampu untuk menilai risiko sebenar pokok GM atau menguruskannya dengan munasabah menggunakan sebarang saintifik berhemat? 

CBD seterusnya mengakui kelayakan Parti-Parti, selaras dengan peraturan tempatan untuk menangguh pelepasan pokok ubah suai genetik kerana tiada kemampuan yang mencukupi untuk menjalankan penilaian risiko seperti itu. 

Oleh sebab itu, kami menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya melaksanakan tanggungjawab sosial sepenuhnya dan melaksanakan prinsip berhati-hati; ini bermakna selaras dengan jurang saintifik dan kekurangan ketentuan maka tidak boleh dilaksanakan sebarang penanaman pokok getah GM di Malaysia sama ada untuk ujian lapangan atau atas alasan komersial. 

 

S. M. Mohamed Idris

Presiden

Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan

Sahabat Alam Malaysia

Join Donate