Pokok untuk Bumi

Mr Mohideen planting a treeNaib Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader menanam pokok di pejabat CAP

SAM menyokong kenyataan akhbar berikut yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang 

Kenyataan Akhbar                                                                                                           22 April 2016

 CAP meraikan Hari Bumi 2016

Planet kita kini kehilangan lebih 15 bilion pokok setiap tahun, bersamaan dengan 48 padang bola setiap minit. Di Malaysia, kita telah kehilangan pokok-pokok untuk memberi laluan kepada pembangunan, pembalakan, perladangan berskala besar, perbandaran, projek jalan raya, dan lain-lain. Tanggungjawab kita kini adalah untuk menghentikan penebangan pokok sewenang-wenangnya dan mula menanam lebih banyak pokok.

Pada tahun Hari Bumi pertama pada tahun 1970, pergerakan ini memberikan suara kepada kebangkitan  kesedaran dan penumpuan ke atas isu-isu alam sekitar. Sempena ulang tahun ke-50 Hari Bumi pada tahun 2020, Rangkaian Hari Bumi telah mengumumkan tema Pokok untuk Bumi, rancangan untuk menanam 7.8 bilion pokok menjelang Hari Bumi 2020: satu pokok bagi setiap orang di planet ini.

Dengan menyertai usaha dalam menanam 7.8 bilion pokok di seluruh dunia, Rangkaian Hari Bumi merancang untuk mencapai tiga matlamat utama:

Mitigasi Perubahan Iklim dan Pencemaran: Penanaman pokok menyerap karbon dioksida berlebihan dan berbahaya daripada atmosfera kita. Dalam jangkamasa satu tahun, ia mengambil kira-kira 96 ​​pokok untuk menyerap jumlah karbon dioksida yang dihasilkan oleh satu orang. Pokok-pokok juga menyerap bau dan gas pencemar seperti nitrogen oksida, ammonia, sulfur dioksida dan ozon, serta menapis zarah halus dari udara dengan memerangkapnya  pada daun dan kulit pokok.

Earth Day Poster

Melindungi Biodiversiti: Dengan menanam pokok yang sesuai, kita boleh membantu mengatasi kehilangan spesies, serta meningkatkan ketersambungan habitat antara tompok-tompok hutan serantau.

Menyokong Komuniti dan Kehidupan mereka: Penanaman pokok membantu masyarakat mencapai kemampanan alam sekitar dan ekonomi dalam jangka panjang, menyediakan makanan, tenaga dan pendapatan. Kajian telah menunjukkan bahawa sekolah-sekolah dengan pokok-pokok telah mengurangkan kadar insiden asma dan penyakit paru-paru serta membantu pelajar yang menghadapi Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) menumpukan perhatian untuk tempoh yang lebih lama.

Penanaman pokok mempunyai faedah alam sekitar, ekonomi, sosial dan psikologi yang lain juga. Antaranya, pokok teduhan mengurangkan jumlah haba yang diserap oleh rumah-rumah dan bangunan, dengan itu mengurangkan permintaan tenaga untuk penghawa dingin. Ini adalah sangat penting memandangkan gelombang haba yang kita alami sekarang.

Dengan demikian pada Hari Bumi 2016 ini Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut mengambil bahagian dalam kempen penanaman pokok. Dari Hari Bumi ini dan seterusnya, mari kita menanam lebih banyak pokok serta menyelamatkan pokok-pokok daripada dimusnahkan.

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden

 

Join Donate