Projek tambak laut di Melaka jejas kehidupan nelayan pantai: SAM

Penambakan LautKelihatan kegiatan penambakan laut di zon penangkapan nelayan pantai di Melaka

KENYATAAN AKHBAR                                                                                               10 SEPTEMBER 2015

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Melaka menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi berbagai masalah yang dihadapi oleh beribu nelayan pantai di negeri ini berikutan pelaksanaan projek tambak laut di sekitar bandaraya tersebut.

Antara masalah yang dihadapi nelayan ialah kawasan tangkapan terjejas dan menjadi sempit, pencemaran laut, mendapan lumpur dan pasir, sumber perikanan semakin pupus, hasil tangkapan berkurangan dan pendapatan harian merosot. 

Tinjauan SAM di Sungai Lereh dekat Tanjung Keling mendapati, lebih 100 nelayan pantai di sini mengalami kesukaran untuk keluar ke laut dan pulang ke pengkalan kerana  perairan dan muara sungai di kawasan itu menjadi cetek akibat kegiatan penambakan laut berhampiran. 

Nelayan terbabit mendakwa kegiatan menyedut pasir laut telah menyebabkan air laut tercemar, dasar laut bergegar dan batu karang yang menjadi tempat ikan membiak turut musnah. Pada masa yang sama mereka juga menghadapi masalah pencemaran laut yang serius kerana lumpur yang dikorek di Sungai Melaka dibuang di zon tangkapan nelayan pantai. 

Berikutan masalah ini ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan pantai di kawasan berkenaan semakin pupus sekali gus menjejaskan hasil pendapatan mereka dari lebih RM100.00 sehari kepada RM30.00 sehari. 

SAM kesal walaupun masalah tersebut telah lama dihadapi oleh nelayan-nelayan di kawasan berkenaan tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berwajib bagi mengatasinya. SAM berpendapat pampasan yang setimpal perlu diberikan kepada nelayan terbabit berikutan kemerosotan hasil tangkapan yang mereka alami. 

Sehubungan itu SAM meminta Pejabat Tanah Dan Galian Melaka (PTG), Jabatan Perikanan, Jabatan Alam  Sekitar (JAS), Jabatan Laut serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat pemantauan secara menyeluruh bagi mengesan punca-punca yang menyebabkan berlakunya berbagai masalah berkaitan projek tambak laut di negeri ini. 

Perancangan yang lebih teliti dan penguatkuasaan undang-undang serta peraturan yang tegas perlu dilaksanakan agar alam sekitar tidak terjejas dan kehidupan nelayan tidak terancam akibat pelaksanaan projek berkenaan. SAM percaya dan bimbang jika perkara ini tidak diberi perhatian sewajarnya masalah yang lebih besar mungkin berlaku pada masa akan datang.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden 

 

Sg Lereh

Tambak laut di Melaka berhampiran Sg Lereh

 

Join Donate