Projek ternakan kerang jejas aktiviti nelayan pantai daerah Kerian

Pancang kerang Kuala SepetangPancang kerang di Kuala Sepetang

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                          03 OGOS 2015

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Perak dan Jabatan Perikanan menyiasat projek ternakan kerang di Kuala Gula hingga ke Kuala Sepetang di Daerah Kerian di sini kerana ia menjejaskan aktiviti dan sumber pendapatan lebih 1,000 nelayan pantai di kawasan berkenaan. Nelayan-nelayan pantai yang menghadapi masalah ini ialah dari Kuala Gula, Kuala Kurau, Kuala Selinsing, Kuala Sepetang, Kuala Sungai Pinang dan Sungai Protan.

Dalam tinjauan yang dibuat, SAM mendapati pengusaha projek ternakan kerang di kawasan tersebut telah meletak beribu batang pancang di muara sungai dan laut di sini menyebabkan nelayan pantai sukar untuk melabuhkan pukat mereka. 

Keadaan itu juga amat merbahaya dan boleh mengancam keselamatan nelayan-nelayan pantai di kawasan ini. Terdapat beberapa kejadian bot nelayan pantai pecah dan rosak kerana terlanggar pancang yang terdapat di perairan itu. 

Masalah yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu semakin serius berlaku ketika ini kerana pengusaha ternakan kerang kian bertambah jumlahnya dan kawasan ternakan pula semakin luas. 

Kalangan nelayan pantai yang terlibat merasa bimbang dengan perkembangan ini dan mereka mendakwa ada di kalangan pengusaha projek tersebut menabur benih kerang di kawasan semulajadi dan kawasan yang tidak diberi kelulusan oleh pihak berkenaan. 

Tindakan itu bukan saja menyebabkan nelayan pantai kehilangan kawasan tangkapan mereka mencari rezeki sejak turun temurun malah kesan pencemaran dasar laut dan kawasan pantai juga semakin ketara. 

Penggunaan tangguk besi seberat 30kg oleh para pengusaha projek ternakan kerang di sini telah menyebabkan air laut menjadi busuk di mana ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan pantai telah berkurangan dan menjejaskan hasil pendapatan mereka antara 30% hingga 70% setiap kali turun ke laut. 

SAM merasa kesal walau pun masalah ini telah beberapa kali dikemukakan kepada pihak berkuasa yang terlibat tetapi tidak ada tindakan yang diambil. Sehubungan itu SAM berharap  Jabatan Perikanan dan Pejabat Tanah Daerah Kerian menguatkuasakan undang-undang serta peraturan yang sedia ada dengan tegas agar nasib nelayan-nelayan pantai di kawasan ini terbela.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden   

 

Join Donate