ResourceCo Asia Hantar Kembali sisa ke Australia

bantahan dekat ResourceCo Asia

Bantahan terhadap ResourceCo Asia oleh staff SAM

KENYATAAN AKHBAR                                                                                                    15 OKTOBER 2015

Sahabat Alam Malaysia menggesa ResourceCo Asia (M) Sdn Bhd untuk segera mengembalikan sisa pepejal yang telah diimport dari Australia untuk tujuan pembuatan bahan api untuk Lafarge.

Isu ini telah dibawa ke perhatian SAM oleh seorang individu prihatin yang mendapati bahawa syarikat di Taman Perindustrian IGB di Ipoh, Perak ini telah memalsukan dokumen import dengan mengisytiharkan sisa pepejal sebagai bahan api pepejal. Ini dilakukan kerana Malaysia menghadkan pengimportan sisa berbahaya dan bahan buangan lain untuk tujuan pemulihan. 

Berdasarkan laman web mereka, ResourceCo Asia (M) Sdn Bhd telah menubuhkan operasinya di Malaysia pada bulan Oktober 2010, dan pada Mei 2011 telah komited untuk membekalkan bahan api kepada Lafarge Malaysia secara eksklusif. Dibina di atas platform yang sama dengan operasi Process Engineered Fuel (PEF) di Australia, ia menyatakan bahawa kemudahan di Ipoh mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan sehingga 50,000 tan PEF setahun. Bahan api yang dihasilkan daripada kemudahan itu kemudiannya akan digunakan untuk pembakaran di tanur simen Lafarge Kanthan dan Rawang. 

SAM telah membuat susulan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia mengenai perkara ini. JAS telah menulis kepada SAM yang sisa tersebut mesti dihantar balik ke Australia sebagaimana peruntukan Artikel 9 Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Sisa Berbahaya Rentas Sempadan dan Pelupusannya. 

Di bawah Artikel 9 Konvensyen Basel, trafik haram berlaku jika pergerakan rentas sempadan sisa berbahaya sedang berlaku dalam keadaan berikut: 

  • tanpa pemberitahuan selaras dengan peruntukan-peruntukan Konvensyen kepada semua Negara yang berkenaan;
  • tanpa persetujuan sesuatu Negara berkenaan;
  • melalui persetujuan diperolehi dengan pemalsuan, salah nyataan atau penipuan;
  • apabila pergerakan tidak mematuhi penghuraian dalam dokumen; atau
  • apabila pergerakan menyebabkan pelupusan sengaja sisa berbahaya atau bahan buangan lain yang bertentangan dengan Konvensyen dan prinsip-prinsip am undang-undang antarabangsa. 

Oleh itu, SAM mengadakan tindakan bantahan ini untuk menggesa ResourceCo Asia menghantar kembali sisa ke Australia dengan segera kerana sehingga awal Oktober sisa tersebut masih di dalam premis ini. Kami juga menyeru Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat ini kerana terlibat dalam pengedaran mengedar sisa secara haram, memalsukan dokumen import dan mengingkari perintah untuk menghantar kembali sisa ke Australia sebaik sahaja dinotifikasikan oleh Jabatan Alam Sekitar. 

Malaysia Bukan Tapak Pelupusan. Kembalikan Sisa ke Australia.                                                                                                                                  

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate